PRN Sarawak: Rakyat mahu kerajaan negeri yang stabil, bukan terumbang-ambing
Afiezul Samit
Disember 11, 2021 21:50 MYT
Disember 11, 2021 21:50 MYT
SAMARAHAN: Sarawak memerlukan kestabilan politik untuk terus maju sekali gus memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Demikian tegas Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Fadillah Yusof ketika mengulas lanjut mengenai Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Menurutnya, rakyat sudah penat dengan kerajaan yang terumbang-ambing.
“Sebab kita dah belajar apa yang berlaku di semenanjung, di peringkat Persekutuan, apabila politik tak stabil, maka perancangan untuk membangunkan negara ini terjejas.
“Disebabkan setiap kali bertukar kerajaan, nak bertukar kepimpinan dan sebagainya, jadi fokus kepada pembangunan negara dan pembangunan rakyat itu terjejas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Taklimat Rancangan Tebatan Banjir Sarawak pada Sabtu.
Jelasnya, apa yang penting adalah kemakmuran negara dan negeri bagi menyalurkan bantuan kepada pembangunan rakyat.
Justeru, katanya dengan rekod prestasi GPS selama ini, jelas sekali Sarawak bergerak ke arah yang baik.
“Kemakmuran itu penting kerana hanya dengan kemakmuran kita dapat menjalankan pelbagai program dan bantuan kepada rakyat dan juga membangunkan negeri kita.
“Rekod prestasi GPS itu sendiri membuktikan yang kita dapat memastikan kestabilan dan keharmoni rakyat kita di Sarawak,” katanya.