PRN Sarawak: PM ajak rakyat Sarawak bijak pilih wakil rakyat, pacu pembangunan

Syafik Shukri Jalil
Disember 4, 2021 17:31 MYT
Ismail Sabri (empat dari kiri) mahu rakyat bijak memilih wakil rakyat pada PRN12 Sarawak nanti.
KAPIT: Perdana Menteri mengajak rakyat Sarawak supaya bijak dalam memilih wakil rakyat yang akan mentadbir kerajaan negeri yang baharu.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu penting bagi memastikan segala projek pembangunan yang dirancang di negeri itu terutama di luar bandar akan dapat dilaksanakan.
"Kali ini saya harap rakyat Sarawak jangan membuat keputusan yang silap. Banyak lagi projek yang diluluskan ini tidak akan dapat dilaksanakan jika pemerintah negeri dan pusat tidak selari.
"Jadi saya harap orang Sarawak, orang Kapit pilihlah yang betul supaya memudahkan urusan pembangunan antara Kerajaan Pusat dan negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kapit Town Square, Kapit pada Sabtu.
Mengambil perhatian mengenai jaringan capaian internet di luar bandar Sabah dan Sarawak yang kurang memuaskan, Ismail Sabri berkata, lebih RM7 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi program JENDELA bagi kedua-dua negeri itu.
Katanya, bagi fasa pertama, kerajaan memperuntukkan RM4.09 bilion melibatkan pembinaan 823 menara baharu, menaik taraf 312 stesen pemancar dan pembinaan gentian optik di 73,588 premis di seluruh Sarawak.
"Ini bermakna daripada perancangan ini, tiada sesiapa pun termasuk masyarakat di luar bandar akan ketinggalan dari segi capaian internet. Justeru, kerajaan menyasarkan penghujung tahun 2022 semua kawasan akan menerima liputan internet," jelasnya.
#PRN Sarawak #ismail sabri yaakob #PM di Kapit #Rakyat bijak pilih wakil rakyat #pilihan raya negeri #Sarawak Memilih
;