PRN Sarawak: Pertembungan tiga penjuru di DUN Bukit Saban

Alexandra Lorna
Disember 6, 2021 10:53 MYT
Uggah (kanan), bersama dua lagi calon Mikhael (kiri) dan Andria (tengah) bagi PRN Ke-12 DUN N.37 Bukit Saban. - Astro AWANI
SPAOH: Dewan Undangan Negeri N.37 Bukit Saban menyaksikan pertembungan tiga penjuru di antara Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Calon-calon untuk Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN) ke-12 di kawasan ini adalah Datuk Amar Douglas Uggah Embas (GPS), Mikhael Matthew Abdullah @Nyawai Patrick Agus (PKR) dan Andria Dundang @ Andria Gelayan (PSB).
Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya (RO) DUN Bukit Saban, Charlie Keling mengumumkan nama-nama calon selepas Penamaan Calon tamat pada jam 10 pagi.
Calon pertama yang menghantar pencalonan adalah daripada PKR Mikhael Matthew Abdullah @ Nyawai Patrick Agus pada jam 9.01 pagi bersama pencadang Edwin Luta Valentine Muran dan penyokong Marzuki Sabang.
Calon kedua pula menghantar nama pada jam 9.10 pagi adalah daripada PSB Andria Dundang @ Andria Gelayan bersama pencadang Kanaini Piee dan penyokong Peter Mandi.
Manakala, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Timbalan Pengerusi GPS pula adalah calon ketiga menghantar pencalonan bersama pencadang, Ahli Parlimen Betong Datuk Robert Lawson Chuat dan penyokong Nahariah Mohd Sapawi pada jam 9.20 pagi.
Menurut Daftar Pemilih Terkini setakat 2 November 2021, seramai 4,729 (49.66 peratus) jumlah pengundi adalah lelaki manakala 4,794 pengundi (50.34 peratus) adalah perempuan dengan jumlah keseluruhan pengundi berdaftar 9,523 orang.
Untuk rekod, pada PRN ke-11, Datuk Amar Douglas Uggah menang atas kerusi Barisan Nasional (BN) – Parti Pesaka Bumiputera (PBB) dengan majoriti undi 4,599 menentang calon PKR, Noel Changgai Bucking.
#PRN Sarawak #DUN Bukit Saban #Amar Douglas Uggah Embas #SPR
;