PRN Sarawak: Pertembungan empat penjuru di Batu Kitang, Batu Kawah
Shafik Ahmad
Disember 6, 2021 11:32 MYT
Disember 6, 2021 11:32 MYT
KUCHING: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak pada 18 Disember ini.
Pertandingan itu melibatkan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Dr Kelvin Yii Lee Wuen (DAP), Fong Pau Teck (ASPIRASI) dan Chai Kueh Khun (PBK).
Perkara itu diumumkan Pegawai Pilihan Raya DUN Batu Kawah, Ita Ling selepas proses penamaan calon di Majlis Perbandaran Padawan (MPP) di sini pada Isnin.
“Selepas menilai dan semakan dibuat terhadap kertas penamaan calon yang dihantar, tiada penolakan dibuat melibatkan calon-calon,” katanya.
Sementara itu, di lokasi sama, DUN Batu Kitang juga melibatkan pertandingan empat penjuru.
Ia bakal menyaksikan perebutan antara Lo Khere Chiang (GPS), Abdul Aziz Isa (DAP), Wong Tun Teck (PBK) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) iaitu Liu Thian Leong.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh 14 Disember sebagai hari pengundian awal dan 18 Disember hari mengundi.