PRN Sarawak: Pertembungan abad ini, Dr Sim, Chieng Jen hampir jadi realiti
Shafik Ahmad
Disember 1, 2021 05:21 MYT
Disember 1, 2021 05:21 MYT
KUCHING: Kurang 96 jam lagi, hari penamaan calon akan berlangsung, saat yang dinantikan setiap parti untuk memuktamadkan individu yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Namun keabsahan pencalonan itu hanya dikira sebaik sahaja ia ‘lulus’ selepas melalui beberapa tapisan sebelum diumumkan pengurus pilihan raya.
Antara yang menjadi tumpuan, kerusi Batu Kawa yang bakal menyaksikan pertembungan antara dua pemimpin parti.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen.
Namun, apakah benar Chieng Jen akan berhijrah ke Batu Kawa untuk berdepan seteru tradisi di kubu kuat SUPP?
Persoalan itu hanya akan terjawab pada petang ini, DAP Sarawak akan menyerahkan watikah pelantikan calon bagi kawasan Pending, Batu Kawa, Kota Sentosa, Padungan, Batu Kitang dan Stakan.
Manakala dua kerusi lagi, Dudong dan Bawang Assan akan ditentukan pada 3 Disember ini Sibu.
DAP Sarawak sebelum ini mengesahkan akan bertanding di 26 kerusi dan 18 calon awal sudah diumumkan pada minggu lalu.
Di mana kedudukan Chieng Jen, sama ada kekal mempertahankan Kota Sentosa yang diwakilinya selama tiga penggal sejak 2011 atau mencuba nasib di destinasi baharu?
Pada PRN11, SUPP berjaya merampas kerusi Batu Kawa daripada DAP selepas calonnya Christina Chiew Wang See tewas kepada Dr Sim.
Dan ini akan menjadi ujian sulung Dr Sim untuk mempertahankan kerusi tersebut selepas berjaya menambat hati 6,414 pengundi Batu Kawa pada 2016.
Momentum bagi mengekalkan kejayaan di kawasan tersebut pasti memberi tekanan yang hebat dan luar biasa namun harus diingat bahawa mandat dan pilihan terletak pada tangan rakyat.
Menelusuri sejarah pertembungan Dr Sim dan Chieng Jen, ia bukanlah kali pertama cuma berbeza gelanggang pada kali ini.
Untuk rekod, Chieng Jen memperoleh majoriti 14,221 undian sekali gus menewaskan Dr Sim (18,839 undi) pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 di Stampin.
Bagaimanapun, perebutan kerusi Batu Kawa sudah pasti bukan hanya menjadi sasaran DAP, bahkan Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang mempertaruhkan Chai Kueh Khun selain Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) yang menampilkan bekas ADUN Pujut, Fau Pau Teck yang dipecat DAP.
Secara tidak langsung ia bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya lima penjuru pada PRN12 kelak yang pasti menjanjikan fenomena yang menarik.