PRN Sarawak: Pertandingan empat penjuru rebut kerusi DUN Baleh

Syafik Shukri Jalil
Disember 6, 2021 11:04 MYT
Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh menyaksikan pertembungan empat penjuru. - Astro AWANI
KAPIT: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam saingan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) kali ini.
Ia selepas diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon (PPC) DUN Baleh, Robert Liman sebentar tadi.
Saingan kali ini melibatkan Nicholas Kudi Jantai dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau merupakan anak saudara kepada bekas penyandang kerusi tersebut, mendiang Tan Sri James Jemut Masing yang meninggal dunia pada 31 Oktober lepas.
Selain Nicholas, tiga calon lain termasuk calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Koh Kumbong, Kenneth Usang George (DAP) dan Irwan Iskandar Sukarno Abdullah dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Calon PSB, Koh Kumbong merupakan abang kepada Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dari PRS.
Manakala Kenneth Usang George merupakan anak kepada bekas penyandang kerusi DUN Pelagus pada 2011 sehingga 2016, George Lagong, dari parti Bebas.
Kerusi DUN Baleh sebelum ini disandang oleh mendiang Masing selama lapan penggal bermula pada 1983.
Pada PRN11 yang lalu, mendiang berjaya memperkukuhkan kedudukannya di sana apabila meraih majoriti mudah 4,843 ke atas calon DAP, Agop Linsong yang sekadar meraih 454 undi.
Selain Baleh, DUN Belaga juga menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang dari GPS, Datuk Liwan Lagang.
Pencabar Liwan termasuk John Bampa dari PBK, Henry Usat Bit (PSB) dan Siki Balarik (Bebas).
Manakala pertembungan empat penjuru juga di DUN Murum, melibatkan penyandangnya Kennedy Chukpai Ugon (GPS), Ani Amat (PKR), Kenneth Adan (PBDS Baru) dan Stanly Ajang (PSB).
#PRN Sarawak #DUN Baleh #James Jemut Masing #SPR
;