PRN Sarawak: Perjuangan PSB tarik pesara Kastam cabar Awang Tengah di Bukit Sari

Fadilah Sulaiman
Disember 11, 2021 12:08 MYT
Pesara Kastam, Alias Mail akan melakukan sehabis baik untuk meraih sokongan pengundi di DUN Bukit Sari. - Astro AWANI
LAWAS: Dasar Parti Sarawak Bersatu (PSB) memperjuangkan kesaksamaan semua kaum dalam menikmati pembangunan menjadi faktor kepada Alias Mail, seorang pesara pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk menyertai Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) menentang Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut Alias, berdasarkan tinjauan, rakyat Lawas mahu wakil rakyat mahupun kerajaan memberi fokus kepada sosioekonomi terutama peluang pekerjaan anak muda di kawasan itu.
"Jadi apabila saya meneliti PSB ini, dia lebih kepada kesaksamaan dan keadilan semua kaum yang membuat saya tertarik. Dan kemudian PSB memberi penghormatan amat tinggi kepada saya supaya berjuang bersama mereka.
"Maka PSB meletakkan saya untuk mencabar Datuk Amar Awang Tengah kerana beliau sudah begitu lama sekitar 37 tahun menjadi wakil rakyat tempatan. Jadi kita rasa macam kita perlukan seseorang untuk melakukan perubahan kepada rakyat keseluruhannya dan itulah salah satu sebab mengapa saya bertanding,” jelasnya.
Menyedari kesukaran untuk merebut kerusi DUN Bukit Sari itu, Alias memutuskan untuk tidak mengadakan kempen secara menyeluruh, sebaliknya hanya berfokus kepada beberapa kawasan yang telah dikenal pasti bagi meraih undi.
“Sebenarnya kita tahu bukannya senang nak masuk dan melawan orang yang begitu tersohor, mempunyai kekuatan mantap, malah tidak pernah kalah.. Mengikut sejarah, saya tahu BN atau PBB kawasan Lawas tidak pernah ada digugat mana-mana parti atau individu lain.
"Tetapi kami cuba membuat (kempen) secara berfokus. Sekarang kami lebih banya gunakan multimedia.. secara fizikalnya kami belum mula lagi. Jadi kita ada sasaran tertentu saja kerana kita tidak dapat buat menyeluruh atas kekangan sumber kita ni kuranglah daripada bandingkan dengan dia orang ni sebab diaorang punya kuasa,” katanya lagi.
PRN12 Sarawak menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi DUN Bukit Sari iaitu antara bekas penyandangnya Awang Tengah (PBB) dengan dua calon muka baharu, Alias (PSB) serta calon PBK Riyah Basrah.
#PRN Sarawak #DUN Bukit Sari #Alias lawan Awang Tengah #Kubu kuat GPS
;