PRN Sarawak: Penyertaan Bolly lapok Sah ke PSB adalah hak masing-masing
Alisa Spencer
November 15, 2021 15:57 MYT
November 15, 2021 15:57 MYT
KUCHING: Penyertaan bekas Bishop Gereja Willayah Asia Tenggara, Datuk Bolly Lapok Sah ke dalam Parti Sarawak Bersatu (PSB) adalah pilihan beliau sendiri.
Menurut penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn, penyertaan seseorang dalam parti politik adalah hak masing-masing tanpa melihat latar belakang mereka.
Namun, beliau juga mengatakan golongan agamawan seharusnya tidak melibatkan diri dalam politik.
“Tetapi bagi pendirian saya, kalau kita berada dalam bidang agama, biarlah kita fokus kepada hal agama sahaja dan tidak perlu melibatkan diri dalam politik.
“Sebab banyak orang kata politik itu kotor tapi saya tidak tahulah. Saya tidak pernah terlibat dengan politik kotor,” ujar Datuk Roland ketika ditemui media pada Majlis Penyampaian Cek Bantuan kepada Sekolah Mubaligh Denominasi Anglikan Sarawak di sebuah hotel terkemuka disini pada Isnin.
Bagaimanapun, Roland berharap Bolly dapat memikul tanggungjawab sekali gus membawa perubahan kepada Sarawak kelak.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan dengan pencalonannya sama ada menjadi ADUN Tarat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak ke-12 kelak, beliau menyerahkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memutuskannya.
“Saya bersedia untuk berkhidmat walaupun tidak dipilih menjadi calon. Tidak menjadi calon itu, lain pula ceritanya. Sekiranya ada calon yang dipilih, saya sedia membantu,” jelasnya.
Pada masa yang sama, kerajaan Sarawak melalui Unit Hal Ehwal Agama-Agama lain (UNIFOR) telah mengagihkan bantuan dana Sekolah Mubaligh untuk 50 sekolah di bawah denominasi Anglikan di seluruh negeri itu yang berjumlah RM6 juta.