PRN Sarawak: Penduduk Kampung Sinop, Bekenu dambakan bekalan air bersih
Fadilah Sulaiman
Disember 16, 2021 09:20 MYT
Disember 16, 2021 09:20 MYT
BEKENU: Jika 30 tahun lalu ketika Irwan Johan masih kanak-kanak, mungkin dia masih belum faham kenapa keluarganya dan penduduk kampung pergi ke Sungai Sibuti.
Bagi Irwan yang berusia tujuh tahun ia satu keseronokan untuk bermandi manda bersuka ria.
Manakala ibu dan bapa serta orang dewasa lain melakukan aktiviti harian mencuci baju, mengangkut air untuk kegunaan memasak dan minuman dari air sungai tersebut.
Cara hidup yang disifatkan alah bisa tegal biasa itu disangka akan berubah dek pembangunan, namun tidak.
Ia terus menjadi igauan buat lebih 160 penduduk Kampung Sinop, Bekenu.
"Kalau boleh lihat sendiri inilah tempat kami penduduk kampung mendapatkan air minuman. Di sungai ini juga kami membasuh pakaian, mengambil air untuk memasak dan sebagainya," katanya ketika ditemui Astro AWANI baru-baru ini.
Dakwa Irwan lagi, bantuan bekalan air bersih daripada pihak berwajib juga jarang diterima penduduk kampung tersebut.
Malah, ada juga penduduk yang menggunakan pam untuk mengambil air sungai terus ke tangki rumah masing-masing.
Terletak hanya 40 kilometer dari bandaraya Miri, laluan masuk ke kampung itu juga cukup mencabar dan masih menggunakan jalan batu kerikil selain berlubang.
Keadaan ini, kata Irwan, menyukarkan penduduk untuk pergi ke pasar membeli air botol sebagai minuman apabila air takungan hujan sudah kering.
"Kampung ini tidak jauh dari laut. Kami ada dua situasi yang menyukarkan penduduk kampung. Pertama apabila kemarau iaitu penduduk kampung memang susah nak mendapatkan bekalan air.
"Hal ini kerana air sungai biasanya masin dan telaga semua akan kering. Penduduk terpaksa membeli air mineral setiap minggu ke pasar dengan kos yang tinggi," katanya.
Irwan turut berharap wakil rakyat yang dipilih nanti mengambil maklum mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kampung tersebut.
Selain itu, Eddie Ahmad turut yang telah 45 tahun menetap di kampung tersebut mengharap masalah ini dapat diatasi.
Kecewa dengan situasi itu, kata Eddie anak-anaknya turut berdepan kesulitan yang dialaminya puluhan tahun lalu.
"Saya harap ada bekalan air paip kalau boleh dipercepatkan lagi. Lama sudah kampung kami menanggung perkara ini," katanya.
PRN Sarawak | Penduduk masih guna air sungai, takungan hujan
Sementara itu, Ketua Kaum Kampung Sinop, Ramlee Talip menjelaskan dia tidak pernah jemu berulang alik bertemu dengan pihak berkuasa untuk memohon bekalan air bersih sampai ke kampungnya.
Katanya, sudah ada kontraktor menarik paip air bagaimanapun bekalan air masih tiada.
"Paip ada tetapi air masih tiada. Paip yang dipasang itu paip angin saja malah meter pun belum ada lagi.
"Jadi kami harap sangat demi kebajikan penduduk di kampung ini, tolong kami beri bekalan air," katanya.