PRN Sarawak: Pembangunan fizikal, ekonomi, sosial fokus Miro Simuh di DUN Serembu
Hasimi Muhamad
Disember 3, 2021 11:26 MYT
Disember 3, 2021 11:26 MYT
BAU: Pembangunan fizikal, ekonomi serta sosial menjadi fokus utama Miro Simuh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak akan datang.
Miro yang juga Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) melihat tiga aspek tersebut sebagai saling berkait dan amat penting bagi pembangunan di DUN Serembu.
Memenangi kerusi tersebut buat pertama kali selepas ia dipertandingkan pada PRN11, beliau mengakui kemudahan asas termasuk jaringan jalan raya di kawasan itu telah dinikmati oleh rakyat.
“Pertama sekali ialah pembangunan fizikal, walaupun jalan-jalan raya sudah ada tetapi kita kena buka penempatan-penempatan dan tanah baharu.
“Kita perlu peruntukan dari segi ini untuk kita bangunkan,” katanya kepada Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Dari aspek ekonomi pula, Miro, 49, yang berasal dari Kampung Kandis Baru, di sini berkata beliau mahu memastikan pendapatan isi rumah dapat ditingkatkan.
Ia termasuk membangunkan projek seperti pertanian, pelancongan serta perhotelan.
“Inilah perancangan penting untuk kita melibatkan orang kampung terutama sekali mereka yang dalam kategori B40.
“Selain itu, kategori miskin untuk bawa mereka keluar daripada kepompong kemiskinan dan seterusnya bersama membentuk diri mereka dalam masyarakat kebanyakan,” ujar anak Bidayuh Serembu itu lagi.
Sementara itu, Miro menegaskan pembangunan pendidikan dan rohani menjadi teras utama dalam aspek sosial.
Jelasnya, dua teras itu mampu mengelakkan generasi muda terjerumus dalam masalah sosial termasuk penyalahgunaan dadah.
“Sebab itulah pembangunan sosial penting di mana institusi-institusi pendidikan dan agama hari ini memainkan peranan dalam kita mendidik masyarakat yang berilmu, berguna, serta memberi balik kepada masyarakat,” ujar beliau.
Pada PRN11 Miro menang dengan majoriti 1,397 undi menewaskan tiga lagi pencabar masing-masing calon Bebas, Datuk Nyomek Anak Nyeap; Athina Klaywa Sim (PKR); dan Buln Anak Patrick Ribos (Star).
Gabungan Parti Sarawak (GPS) dijadual mengumumkan senarai penuh calon yang akan bertanding pada PRN-12 pada 3.30 petang ini.