PRN Sarawak: PBDS Baru tumpu luar bandar, kerusi majoriti kaum Dayak

Hafiz Marzukhi
April 20, 2016 12:57 MYT
Senarai penuh calon PBDS Baru akan diumumkan sejurus dimuktamadkan.
Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) akan mengetengahkan kurang dari 10 calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11, dengan tumpuan mereka di kawasan-kawasan luar bandar serta kerusi majoriti kaum Dayak.
Presiden parti, Louis Jarau berkata, objektif utama parti adalah untuk menjalankan proses semak dan imbang untuk kerajaan negeri.
"Oleh itu, kami mengumumkan secara rasmi calon pertama kami, Patrick Anek Uren di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Opar," kata Louis.
Patrick merupakan Timbalan Presiden PBDS Baru dan juga pernah menjadi Ahli Parlimen selama tiga penggal bersama Parti Nasional Sarawak (SNAP) pada 1970an.
"Kami ingin buktikan bahawa parti tempatan Sarawak cukup layak untuk mentadbir negeri sendiri. Kami tidak perlukan parti dari Semenanjung Malaysia untuk perjuangkan autonomi kami," kata Patrick.
Sementara itu, apabila ditanya bila pengumuman senarai penuh calon PBDS Baru akan dibuat, Louis berkata ia tidak akan dibuat selagi senarai belum dimuktamadkan.
"Kami mungkin akan tunggu sehingga hari penamaan calon sebelum nama-nama calon diumumkan secara rasmi," kata Louis.
#Parti Bansa Dayak Sarawak Baru #pbds baru #pilihan raya Sarawak #pilihanraya Sarawak #sarawak2016
;