PRN Sarawak: Parti politik diharap buka pintu lebih luas untuk calon muda - Penganalisis

Alexandra Lorna
November 12, 2021 15:17 MYT
Awang Azman berpendapat peremajaan parti perlu dilangsungkan dengan kombinasi pelbagai lapisan umur, jantina dan etnik. - Foto Sinar Harian
KUCHING: Pilihan Raya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) ke-12 boleh mencatat sejarah tersendiri sekiranya ada keberanian bagi parti-parti politik mempertaruhkan lebih ramai golongan muda sebagai calon.
Menurut penganalisis politik, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, dengan adanya lebih ramai penyertaan anak muda dalam politik bermakna lebih banyak pelapis pemimpin masa depan yang akan mengambil alih teraju kepimpinan negeri.
“Hal ini juga bagi mengelakkan berlakunya ketandusan apabila ramai pemimpin politik sudah mencecah usia emas mereka,” ujarnya.
Awang Azman berkata demikian sebagai menjawab persoalan adakah pencalonan orang muda wajar atau sekadar meraih populariti.
Mengulas lanjut, Awang Azman juga berharap pemimpin politik muda yang baru satu atau dua penggal menjadi wakil rakyat tidak berasa terancam dengan muka-muka baharu yang bakal mewarnai politik negeri Sarawak.
“Hal ini kerana mereka juga dialu-alukan oleh wakil rakyat lama ketika baru pertama kali bertanding, kurang dikenali dan baru.
“Apa yang penting ialah kesinambungan kepimpinan, peremajaan parti perlu dilangsungkan dengan kombinasi pelbagai lapisan umur, jantina dan etnik,” katanya.
#PRN Sarawak #Dr Awang Azman Awang Pawi #Sarawak #GPS
;