PRN Sarawak: Negeri ini besar, SOP kena fleksibel - Nanta

Syafik Shukri Jalil
November 15, 2021 09:43 MYT
Nanta berkata, perlu ada fleksibiliti dalam SOP kempen PRN Sarawak, tetapi pihaknya tidak akan berkompromi dari segi keselamatan atau kesihatan. - Gambar fail
PELAGUS: “Negeri Sarawak ini besar dan keadaan geografinya tidak sama, maka perlu ada sedikit fleksibiliti”.
Itu kata Ahli Parlimen Kapit, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkenaan prosedur operasi standard (SOP) yang akan diumumkan menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12).
Katanya, beliau sedar kawalan terhadap penularan COVID-19 perlu dilakukan sebaiknya namun kedudukan sesebuah kawasan di Sarawak yang jauh mungkin wajar dipertimbang oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Jadi, di peringkat awal ini, kita berharap semasa PRN yang akan datang, SOP untuk mengendalikannya nanti dibuat secara praktikal.
“Kalau terlalu (ketat) mungkin ia menimbulkan masalah juga memandangkan Sarawak ini adalah negeri yang besar dan jarak di antara satu-satu tempat tidak sama.
“Untuk itu, perlulah ada fleksibiliti. Tetapi kita tidak akan kompromi dalam aspek keselamatan atau kesihatan sebab kita masih dalam usaha hendak menangani masalah COVID-19 ini,” katanya.
Senada dengan Nanta ialah penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelagus, Wilson Nyabong Ijang.
Beliau menyifatkan sekiranya SOP sama di Melaka diumumkan di Sarawak, maka sukar untuk calon parti yang bertanding bertemu dengan penduduk dan menerangkan dasar dan hala tuju kerajaan yang akan dibentuk kelak.
“Berpandu kepada apa yang sudah diguna pakai di Melaka mungkin tidak berapa jauh daripada apa yang akan diumumkan bagi SOP di Sarawak nanti.
“Tetapi kena faham kerana negeri Sarawak berlainan demografi dan saya harap ini akan ditambah baik bagi membolehkan kita (calon parti bertanding) berjumpa dengan rakyat untuk menerangkan dasar dan hala tuju kerajaan yang akan dibentuk kemudian. Itulah harapan saya,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berharap SPR akan mengeluarkan SOP yang realistik untuk PRN Sarawak tidak lama lagi.
Katanya, SOP tersebut penting bagi menyeimbang aspek kesihatan tanpa menidakkan amalan demokrasi agar aktiviti pilihan raya, termasuk berkempen, dapat dilaksanakan tanpa menimbulkan gelombang penularan baharu wabak COVID-19.
#Alexander Nanta Linggi #PRN Sarawak #kempen pilihan raya #SOP kempen
;