PRN Sarawak: Nasihat Allahyarham Tok Nan jadi azimat Azizul Annuar dalam politik
Assim Hassan
Disember 4, 2021 14:07 MYT
Disember 4, 2021 14:07 MYT
KUCHING: Pesanan ayah tersayang, Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem supaya sentiasa bersifat rendah diri dan menyantuni rakyat di bawah akan dipegang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi DUN Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan.
Azizul Annuar, 31 tahun yang merupakan calon termuda ditampilkan GPS juga ingat pesanan arwah ayahnya supaya melakukan sesuatu perkara yang baik dan melaksanakannya dengan sempurna.
"Apabila saya membuat keputusan menceburi bidang politik, pesanan dan nasihat arwah ayah saya menjadi azimat.
"Saya sentiasa ingat pesanan arwah jika kita buat sesuatu kita perlu buat dengan baik... perlu bersikap rendah diri dan sentiasa rapat dengan orang di akar umbi," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Walaupun masih terlalu awal, Azizul Annuar optimis jika kemenangan berpihak kepadanya, beliau akan meneruskan pembangunan yang ditinggalkan arwah Tok Nan dan ibunya, Datuk Amar Jamilah Anu di DUN Tanjung Datu.
Mengulas mengenai strategi kempen pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak, Azizul yang merupakan anak bongsu kepada pasangan Tok Nan dan Jamilah akan melihat kepada pendekatan digital serta media sosial.
"InshaAllah saya akan melihat semua medium-medium yang boleh diguna pakai.. saya rasa PRN kali ini adalah PRN media sosial," katanya.
Allahyarham Adenan meninggal dunia pada 11 Januari 2017, sekali gus Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan bagi mengisis kekosongan kerusi Tanjong Datu.
Azizul Annuar ketika itu antara yang giat berkempen mewakili ibunya pada PRK Tanjong Datu.
Dalam PRK tersebut, Jamilah menang dengan majoriti 6,443 undi mengalahkan Rapelson Richard Hamit daripada PBDS Baru dan Johnny Bob Aput (STAR).
Pada PRN ke-11 Sarawak, Allahyarham Adenan memperoleh 6,360 undi mengalahkan calon PKR, Jazolkipli Numan dengan majoriti 5,892 undi.