PRN Sarawak: Naroden buka laluan kepada Abang Jo jadi calon DUN Gedong
Fadilah Sulaiman
November 17, 2021 12:22 MYT
November 17, 2021 12:22 MYT
GEDONG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong, Datuk Naroden Majais pada pagi Rabu mencadangkan Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mewakili DUN tersebut pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak akan datang.
Menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Pecah Tanah Lubok Teranggas ke Gedong di sini, Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana itu berkata, cadangan mencalonkan Abang Johari itu penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan kawasan tersebut.
"Kita mahu Gedong bukan sahaja terus membangun tapi dapat menyaksikan pelaksanaannya dengan lebih cepat (kerana) impak pembangunan akan melimpah hingga ke kawasan lain seperti Samarahan, Simunjan dan Sebuyau.
"Ia memerlukan kekuatan lebih besar lagi... (untuk lebih maju). Memerlukan kuasa kewangan melulus yang lebih besar dan hanya YAB Ketua Menteri sahaja mempunyai kekuatan seperti itu.
"Kerana itu saya dengan relanya membuka ruang kalau YAB Ketua Menteri sudi mengambil alih masuk pintu gerbang Gedong untuk PRN12 akan datang," tambahnya.
Kenyataan beliau itu disambut dengan pelbagai emosi oleh 300 penduduk Gedong yang hadir pada majlis tersebut.
Melihat kepada cadangan itu, kedudukan Naroden juga masih samar-samar sama ada beliau akan bertanding di kerusi DUN lain atau menarik diri pada PRN12 nanti.
Naroden mula menjadi ADUN Gedong sejak 1991 dan telah berkhidmat selama enam penggal; baik sebagai ADUN Gedong mahupun ADUN Simunjan.
Dalam PRN11 Sarawak, Naroden memenangi kerusi ini dengan majoriti 3,365 undi, menewaskan calon Amanah, Rapelson Richard Hamit dan calon Bebas, Uja Bensi.
Turut hadir Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.