PRN Sarawak: Nanta, Jefferson tiba di pusat mengundi DUN Bukit Goram
Syafik Shukri Jalil
Disember 18, 2021 08:42 MYT
Disember 18, 2021 08:42 MYT
KAPIT: Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi tiba di SJKC Hock Min di sini, tepat jam 8.04 pagi bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram.
Beliau tiba bersama calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Jefferson Jamit Unyat, yang merupakan penyandang wakil rakyat kawasan ini.
Nanta yang mengenakan kemeja batik berwarna biru turut ditemani isteri, Datin Seri Angelina Celestine Ujang.
Kerusi DUN Bukit Goram yang baru dipertandingkan pada pilihan raya negeri (PRN) ke-11 pada 2016, menjadi milik GPS apabila memperoleh kemenangan selesa dengan majoriti 2,586 undi.
Jefferson yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya menewaskan calon DAP, Larry Asap, yang memperoleh 2,010 undi.
Untuk saingan kali ini, beliau berdepan saingan lima penjuru, bertemu Robert Segie dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Puso Bujang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Robert Sawing dari Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) dan Joseph Jinggut (DAP).
DUN Bukit Goram merekodkan seramai 12,150 daftar pemilih untuk PRN ke-12 kali ini.