PRN Sarawak: Nanta beri bayangan satu ADUN digugur di bawah Parlimen Kapit
Syafik Shukri Jalil
November 14, 2021 07:49 MYT
November 14, 2021 07:49 MYT
PELAGUS: Ahli Parlimen Kapit Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberi bayangan bahawa seorang penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah kawasan Parlimennya mungkin digugurkan.
Pada masa sama, dua lagi penyandang di bawah Parlimen sama mungkin akan dikekalkan berdasarkan prestasi dan kemampuan menggalas tanggungjawab sebagai Ahli DUN (ADUN) yang cemerlang.
Tanpa menyebut sebarang nama secara spesifik, Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu juga berkata, sudah masanya wajah baharu ditampilkan bagi DUN tersebut dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) ini.
“Ada yang satu lagi ADUN di kawasan saya, merupakan individu yang sudah menyandang jawatan hampir 40 tahun.
“Sudah agak lama. Jadi mungkin difikirkan sesuailah dan tepatlah masanya kita mengemukakan muka baru,” katanya.
Tambahnya, dua ADUN yang mungkin dicalonkan semula itu masih baharu dan nyata mampu menyumbang dan berbakti kepada penduduk di kawasan yang diwakili mereka.
“Kita kekalkan pencalonan atau calon-calon sedia ada sebab kedua-dua ini baru memasuki penggal kedua sekiranya dicalonkan semula. Mereka ini baru dalam satu penggal saja.
“Jadi, tidak ada sebab-sebab mendesak untuk kedua-dua ini tidak dicalonkan semula dan saya setuju, sebab saya dapat bekerjasama dengan mereka.
“Mereka ini pemimpin yang berkaliber dan memang dapat menggalas tanggungjawab dengan baik dan saya mengharapkan kedua-dua ini dikekalkan,” tambahnya.
Tiga DUN di bawah Parlimen Kapit melibatkan Bukit Goram (Jefferson Jamit Unyat), Katibas (Datuk Ambrose Blikau Enturan) dan Pelagus (Wilson Nyabong Ijang).