PRN Sarawak: Mungkin SOP ketat PRN Melaka diguna pakai

Afiezul Samit
November 2, 2021 13:30 MYT
Jelas Karim, walaupun kebenaran untuk berkempen tidak dibenarkan, ia tidak bermakna demokrasi yang telah diamalkan telah lumpuh.
KUCHING: Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat semasa tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berkemungkinan diguna pakai untuk PRN ke-12 Sarawak.
Bagaimanapun, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perkara itu belum ditentukan memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak belum dibubarkan.
“Saya yakin apabila DUN kita dibubarkan nanti, SOP PRN Melaka juga akan diguna pakai untuk Sarawak memandangkan kes COVID-19 masih ada.
"Jika ia diguna pakai di Melaka, ia (mungkin) juga akan diguna pakai di Sarawak dan tidak menjadi masalah," katanya dalam satu sidang media selepas Perasmian Pelancaran Logo Koporat jenama ‘Sport Sarawak’ di Pusat Akuatik Pandelela Rinong pada Isnin.
Tambah Karim, walaupun kebenaran untuk berkempen tidak dibenarkan, ia tidak bermakna demokrasi yang telah diamalkan telah lumpuh.
"Jika kita pergi ke beberapa negara lain, mereka tidak mempunyai kempen seperti yang kami ada di sini. Oleh itu, apa yang penting adalah pengundi dan orang ramai mengetahui siapa calon yang bertanding, parti mana yang mereka wakili, latar belakang akademik dan janji yang mereka buat.
"Dari situ, mereka akan dapat menilai sendiri sama ada calon layak mendapat undi atau tidak," tambahnya.
Terdahulu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan untuk sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan Pilihan Raya bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.
Malah, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memberikan taklimat kepada kerajaan negeri bahawa tidak dibenarkan kempen terbuka atau kempen dari rumah ke rumah untuk PRN kali ini.
#PRN Sarawak #SOP ketat PRN #Tiada kempen #kempen pilihan raya
;