PRN Sarawak: Masyarakat Lun Bawang Ba'kelalan bersama saya - Baru Bian
Fadilah Sulaiman
Disember 8, 2021 12:48 MYT
Disember 8, 2021 12:48 MYT
LAWAS: Calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’ Kelalan, Baru Bian yakin masyarakat Lun Bawang di kawasan tersebut cukup matang dan celik isu yang dibawanya sama ada dalam DUN Sarawak mahupun Dewan Rakyat.
Justeru, Baru yang dalam misi mempertahankan kerusinya di Ba’ kelalan tidak risau dengan pilihan sejumlah 8,503 pengundi kawasan tersebut biarpun berdepan empat pencabar untuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) ini.
“Pengundi Lun Bawang matang dan faham isu yang kita bangkit dan suarakan dalam DUN Sarawak.
“Mereka juga melihat isu yang dibangkitkan di Parlimen dan saya sangat yakin bahawa pengundi-pengundi kita dapat memilih dengan bijak,” katanya.
Bagaimanapun, Baru yang pertama kali bertanding atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengakui, antara cabaran baginya adalah untuk menjelaskan kepada pengundi-pengundi justifikasinya bertanding menggunakan logo baharu.
“Lambang itu menunjukkan bahawa ia betul-betul negeri Sarawak gelap dari segi kerajaan dan pentadbirannya.
"Di belakangnya satu matahari akan terbit yang menunjukkan ada satu harapan baru melalui PSB,” jelasnya lagi.
PRN12 Sarawak kali ini menyaksikan pertembungan lima penjuru bagi kerusi Ba’ Kelalan yang menyaksikan Baru dicabar Sam Laya (GPS), Peter Asut (PBK), Martin Samuel Labo (PKR), serta calon bebas Agnes Padan.
Untuk rekod, Baru telah berkhidmat sebagai ADUN Ba’ kelalan selama dua penggal apabila memenangi PRN11 (2016) dan PRN10 (2011) atas tiket PKR.
Sebelum itu bekas Menteri Kerja Raya itu pernah bertanding sebagai calon Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) pada tahun 2006, manakala sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Kecil tahun 2004.