PRN Sarawak: Manyin Jawong sah tidak pertahankan DUN Tebedu

Shafik Ahmad
November 23, 2021 15:06 MYT
Untuk rekod, Manyin telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu selama 25 tahun sejak 1996.
KUCHING: Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Micheal Manyin Jawong mengesahkan dirinya tidak akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak kelak.
Perkara itu katanya telah dimaklumkan kepada Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Saya telah memaklumkan keputusan itu kepada Ketua Menteri dan beliau menerimanya. Saya tidak kecewa, dan tidak menyesal, ini memang keputusan rasmi saya (tidak bertanding),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kolokium Kepimpinan Pendidikan Serian pada Selasa.
Untuk rekod, Manyin telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu selama 25 tahun sejak 1996.
Malah beliau turut berada di dalam Kabinet Sarawak yang memegang pelbagai portfolio kementerian termasuk Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi.
Pada PRN11, Manyin menang dengan majorti 6,193 undi menewaskan calon PKR, Alex Saben Nipong yang memperoleh 1,164 undian.
#PRN Sarawak #Manyin sah tidak bertanding #Manyin tidak pertahan DUN Tebedu #Manyin undur diri
;