PRN Sarawak: Letak calon termuda tidak boleh jadi budaya ikutan - Miro Simuh
Hasimi Muhamad
November 10, 2021 13:42 MYT
November 10, 2021 13:42 MYT
BAU: Pencalonan individu termuda dalam pilihan raya tidak boleh dijadikan sebagai budaya ikutan oleh parti politik, hanya kerana mahu meraih populariti.
Sebaliknya, tegas Timbalan Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Miro Simuh, calon muda yang bakal diletakkan di mana-mana kerusi pada pilihan raya perlulah matang dan berpengalaman.
Jelas penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serembu itu, persediaan dari segi fizikal dan mental termasuk tekanan juga harus diambil kira sebelum calon berkenaan diketengahkan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Parti politik ini bukan sesuatu yang, "oh esok saya nak bertanding, hari ini saya nak masuk…”. Ia bukan seperti itu, kita kena bekerja dalam sistem itu (parti politik), mendapatkan pengalaman dalam sistem itu dan mewujudkan pergaulan dalam sistem itu.
“Kita perlu memahami sistem politik dan parti itu sendiri. Saya rasa itu yang terbaik untuk menjadi senjata ampuh kita untuk berdepan pilihan raya. Bukan kerana nak popular, kita masukkan calon muda.
“Tetapi, adakah calon ini benar-benar boleh berkhidmat untuk rakyat apabila menang nanti, dengan pengalaman sedia ada dan sebagainya?” katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas peluang calon muda untuk ditampilkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12, mengambil contoh Pakatan Harapan (PH) yang mempertaruhkan calon termuda, Farzana Hayani Mohd Nasir pada PRN Melaka.
Mengulas lanjut, Miro berkata dalam konteks Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti itu bukan berada dalam satu tahap yang terdesak untuk meletakkan calon muda hanya sekadar untuk memenuhi syarat.
Beliau menambah gabungan parti itu termasuk PBB sentiasa terbuka dalam menyediakan platform kepada golongan muda sebagai pelapis pada masa depan.
“Saya menyahut seruan ini dengan hati terbuka penglibatan generasi muda dan calon-calon muda dalam pilihan raya. Akan tetapi mereka perlu bersedia, memahami dan mendokong hasrat parti kita.
“Sesiapa calon muda yang kita letakkan, saya pasti dia sudah bersedia dan sudah bersama akar umbi parti begitu lama. Selain itu, dia sudah memperjuangkan hasrat perjuangan parti sekian lama dan kita pastikan orang ini memang layak untuk diangkat sebagai calon,” ujar beliau.
Pada PRN Sarawak ke-11, Miro memenangi kerusi DUN Serembu selepas ia dipertandingkan buat pertama kali pada 2016.
Beliau menang dengan majoriti 1,397 undi menewaskan tiga lagi pencabar masing-masing calon Bebas, Datuk Nyomek Anak Nyeap; Athina Klaywa Sim (PKR); dan Buln Anak Patrick Ribos (Star).