PRN Sarawak: Kota Sentosa, 15 tahun tanpa perubahan
Astro Awani
Disember 17, 2021 11:21 MYT
Disember 17, 2021 11:21 MYT
KUCHING: "15 tahun tanpa perubahan, beri saya lima tahun, saya akan bawa perubahan".
Demikian kata Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin jika diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak esok.
Katanya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Sentosa telah diwakili Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen selama tiga penggal.
Namun tiada perubahan dilaksanakan di kawasan tersebut sejak 15 tahun lalu.
“Kota Sentosa sudah diwakili DAP selama 15 tahuntiga penggal dan Kota Sentosa, dengan erti kata lain, masih ketinggalan berbanding kawasan lain.
“Slogan saya, 15 tahun namun tiada perubahan, beri saya lima tahun untuk lakukan perubahan,” tegasnya pada sidang media di Ibu Pejabat SUPP semalam.
Memetik prinsip Albert Einstein, kata Wilfred Yap, jika berterusan melakukan perkara sama, maka hasilnya tidak akan menunjukkan perbezaan.
“Jadi untuk kali ini, beri saya peluang untuk saya bawakan perubahan dan transformasi di DUN Kota Sentosa yang sekali gus memanfaatkan rakyat.
“Perubahan ini antaranya termasuk perkara penting dalam manifesto yang saya tawarkan iaitu Skim Penempatan Semula (SPS) Stampin.
“Selain itu, Pasar Lama Batu 7 yang menjadi tumpuan masyarakat perlu dinaik taraf kerana keadaan Infrastruktur yang sudah lama serta memerlukan penambahbaikan, jika ada pun, ia merupakan rutin normal yang dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” jelasnya.
Wilfred Yap turut menyentuh mengenai pembangunan belia dan sukan di kawasan tersebut yang dilihat masih memerlukan fasiliti lengkap.
Beliau yakin dengan mandat yang diberikan kepada GPS, segala perancangan itu akan dilaksanakan sekali gus membawa perubahan yang diperlukan selama ini.