PRN Sarawak: Kesepakatan dengan PSB gagal, DAP umum dua lagi calon
Amyra Varkisa
Disember 3, 2021 19:00 MYT
Disember 3, 2021 19:00 MYT
KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) terpaksa mengumumkan dua lagi calon untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong dan Bawang Assan ekoran perbincangan bersama Parti Sarawak Bersatu menemui jalan buntu.
Pengerusinya, Chong Chieng Jen sehingga ke saat ini, tiada kata putus daripada PSB untuk bekerjasama dalam agihan kerusi pada PRN12 Sarawak.
"Setelah lama berbincang kami akhirnya memutuskan calon yang akan bertanding di DUN Dudong dan DUN Bawang Assan.
"Sehingga saat ini tiada perkhabaran daripada PSB bersetuju untuk bekerjasama jadi kita anggap mereka menolak untuk bekerjasama. Oleh itu kita akan umumkan calon kita untuk Bawang Assan dan Dudong," katanya.
Tambah beliau, kesepakatan antara kedua belah pihak gagal ekoran perbezaan pendapat dan matlamat yang mana pihak PSB telah menyuarakan dengan jelas niat mereka untuk menubuhkan kerajaan baharu dan bukannya bekerjasama dengan pihak pembangkang.
Beliau mendakwa sekiranya pihak PSB memenangi pilihan raya itu nanti kemungkinan untuk kejadian lompat parti dan sebagainya bakal berlaku.
"Sekiranya ADUN mereka memenangi pilihan raya akan ada yang melompat parti atau perubahan posisi dalam parti. Jadi ini bermakna ianya hanya sekadar perlawanan persahabatan antara PSB dan GPS, lihat siapa menang kemudian bekerjasama. Inilah yang menjadi sebab utama negosiasi antara kami tidak berjaya,” katanya.
Dua calon muka baru yang diketengahkan oleh Chieng Jen untuk bertanding di kedua kerusi panas tersebut ialah Amy Lau Bik Yeing (Bawang Assan) dan Paul Ling Fong (Dudong).
Hal ini sekali gus melengkapkan senarai calon DAP di kesemua 26 buah kerusi yang disasarkan oleh parti berkenaan untuk Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12).
Sebagai rekod penyandang bagi kedua DUN berkenaan adalah daripada PSB iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Datuk Tiong Thai King (Dudong).
Bagaimanapun hanya Datuk Wong Soon Koh yang akan turun mempertahankan kerusi beliau manakala Dudong akan diwakili oleh calon muka baru dari PSB iaitu Wong Hie Ping.