PRN Sarawak: Kebajikan anggota tentera akan terus diambil berat - Abang Jo
Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 13, 2021 13:11 MYT
Disember 13, 2021 13:11 MYT
SIBU: Kerajaan Negeri Sarawak sentiasa memberi perhatian kapada kebajikan anggota tentera yang bertugas siang dan malam menjaga keamanan negeri itu walaupun dalam keadaan negara berdepan dengan pandemik COVID-19.
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau memahami bukan mudah untuk melaksanakan tugas menjaga keselamatan negeri itu kerana faktor keluasan dan juga bentuk muka buminya yang amat mencabar.
Jelasnya, anggota tentera di Sarawak berjaya memikul tanggungjawab menjaga keselamatan dengan baik melalui beberapa kejayaan dalam pelbagai aspek seperti kawalan sempadan di antara Sarawak dengan negara jiran Indonesia dan Brunei Darussalam.
“Kita (kerajaan negeri) berbangga dengan kejayaan-kejayaan anggota tentera dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan membanteras aktiviti penyeludupan.
“Mereka juga berkorban sebagai barisan hadapan dalam usaha mengekang wabak COVID-19 seperti Program di Long Singut sebelum ini dengan perjalanan yang begitu mencabar sekali.
“Mereka telah turun padang untuk terlibat sama menyiapkan hospital medan melalui Program Combat Medic Vaccination Team (CMVT) di kawasan luar bandar dan pedalaman serta dalam operasi sekatan jalan raya (SJR),” katanya semasa berucap semasa Program Lawatan ke Kem Rascom Briged Kesembilan Infantri Malaysia di sini, pada Isnin.
Ujar Abang Johari, kerajaan negeri juga memberi sumbangan aset kawalan pertahanan sempadan kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Sarawak sebagai tanda pengharagaan atas pengorbanan dan jasa menjaga keselamatan negeri.
“Diharapkan penyerahan aset kawalan pertahanan sempadan ini dapat membantu meningkatkan tahap kesiapsiagaan dan memperkasakan kawalan sempadan negeri Sarawak.
“ATM telah memainkan peranan yang begitu penting memberikan keamanan kepada negeri ini dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbeza latar belakang budaya dan pegangan agama untuk menjadi Keluarga Malaysia yang akan memberi hala tuju baik kepada negara,” katanya.