PRN Sarawak: Kaji semula harga tiket penerbangan, pertimbang undi 'online' - Bob Yusof
Eton Khir
November 25, 2021 18:07 MYT
November 25, 2021 18:07 MYT
KUALA LUMPUR: Kenaikan mendadak harga tiket bagi penerbangan domestik dari Semenanjung ke negeri Sarawak dilihat bakal membebankan penduduk negeri itu.
Ini terutamanya buat golongan perantau yang berhasrat untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijadualkan berlangsung 18 Disember depan.
Penyanyi kelahiran Sarawak, Bob Yusof atau nama sebenarnya, Yusrizan Usop, 39, berkata, kos yang mencecah lebih RM3,300 untuk sesetengah penerbangan dua hala adalah terlalu mahal.
Justeru beliau meminta pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu bagi membantu pengundi pulang menunaikan tanggungjawab.
"Kami sebagai rakyat Sarawak yang berada di luar negeri Sarawak ini mengharapkan untuk dapat balik mengundi tetapi kalau harga tiket yang terlampau mahal memang kami akan memikirkan dua atau tiga kali hendak balik.
“Saya mengharapkan pihak-pihak tertentu terutama sekali pihak penerbangan agar dapat memberikan harga yang berpatutan untuk kami balik," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Selain itu Bob berharap pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat mempertimbangkan kaedah lain untuk mereka yang tidak dapat pulang ke Sarawak pada tarikh mengundi nanti.
"Mungkin pihak (SPR) dapat membuat sesuatu secara online. Kalau boleh saya mencadangkan sebegitu kerana lebih memudahkan kepada mereka yang tidak dapat balik ke Sarawak pada tarikh mengundi tersebut. Mungkin atas sebab-sebab tertentu.
"Saya percaya ini adalah lebih memudahkan rakyat Sarawak yang berada di perantauan dan ini juga dapat dilihat sebagai langkah baharu yang mungkin dapat kita laksanakan dengan jayanya kalau ianya dibuat secara pilihan online sebegitu, secara berdaftar dengan pelaksanaan yang lebih ketat.
"Mungkin ini salah satu cadangan dan mungkin ianya sudah ada, sudah wujud tetapi harapnya ia dapat dilaksanakan dengan baik," katanya lagi.
Disamping itu, Bob menyeru untuk semua rakyat Sarawak yang berada di luar negeri Sarawak khususnya di Semenanjung untuk menjalankan kewajipan mengundi.
Dia juga berharap agar PRN negeri pada kali ini akan membawakan satu corak kepimpinan baharu yang dapat memberikan kestabilan politik, sekali gus tiada lagi isu keciciran dalam mengecapi kemajuan serta teknologi semasa khususnya di luar bandar.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 18 Disember sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.
Pengerusinya Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Disember manakala hari pengundian awal ialah pada 14 Disember.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 12 hari sehingga jam 11.59 malam 17 Disember.