KUCHING:Sarawak perlu mengkaji kejayaan negara luar seperti Singapura dan Korea Selatan dalam keadaan negeri ini mahu mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 ketika pandamik COVID-19.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, kajian itu perlu dilakukan secara menyeluruh termasuk mengetatkan prosedur operasi standard (SOP) sepanjang PRN berlangsung.

"Sekiranya Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mahu meneruskan (PRN12), kita perlu meneliti kejayaan Singapura, Korea Selatan selain menganalisis PRN Sabah.

"Saya fikir kita tidak boleh mengelak dari mengadakan PRN12. Apa yang boleh kita lakukan ialah menguatkuasakan peraturan untuk mengelak daripada penularan COVID-19. Sebagai contoh, orang luar dan penduduk rumah panjang serta kampung tidak dibenarkan masuk atau keluar.

"Perhimpunan besar-besar juga tidak boleh diadakan. Pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengikut SOP keselamatan kesihatan apabila bertugas. Ini semua untuk memastikan PRN berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-16 PRS di Kuching pada Rabu.

Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak berkata, PRN12 Sarawak perlu dibuat disebabkan tempoh matang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berakhir pada Jun 2021 sebelum terbubar secara automatik.

“Sekiranya kita menunda PRN12 hingga Jun 2021, itu bererti kita mungkin menghadapi kemerosotan ekonomi. Sekiranya kita meminta pilihan raya tidak lama lagi, kita akan berhadapan dengan bahaya yang ditimbulkan oleh COVID-19. Kita terperangkap," katanya.