PRN Sarawak: Jangan pandang rendah pihak lawan - Dr Abdul Rahman
Shafik Ahmad
Disember 6, 2021 19:10 MYT
Disember 6, 2021 19:10 MYT
KUCHING: Meskipun turun sebagai pilihan boleh menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai tetapi calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) enggan mendabik dada, sebaliknya tetap hormat kepada pihak lawan.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Dr Abdul Rahman bakal berdepan pertandingan satu lawan satu dengan Mahmud Sabli dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) di DUN tersebut.
"Tiada masalah kalau ada orang nak bertanding di Pantai Damai. Pengundi yang akan menentukan siapa menang nanti.
"Kita tidak memandang rendah kemampuan pihak lawan dan sudah lama bersedia untuk menghadapi pilihan raya ini," katanya ketika ditemui.
Katanya, PBB mengamalkan politik matang dan tidak menyerang lawan secara peribadi untuk melakar kemenangan.
"Dalam politik kita perlu realistik dan percaya dengan kemampuan diri. Jika kita sudah memberi perkhidmatan terbaik, sudah pasti pengundi akan terus bersama kita," ujarnya.
Tambahnya, beliau turut berazam untuk meneruskan agenda pembangunan untuk kesejahteraan masyarakat di DUN Pantai Damai.
"Setiap pengundi perlu bijak memilih dan memangkah parti yang mampu membawa kesejahteraan kepada kehidupan mereka," jelasnya.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11), Abdul Rahman menang dengan majorit 9,260 undian menewaskan Zainal Abidin Yet dari PAS yang hanya meraih 1,658 undian.