PRN Sarawak: Isteri mendiang Masing dan Nicholas Kudi antara terawal buang undi di Baleh
Syafik Shukri Jalil
Disember 18, 2021 13:05 MYT
Disember 18, 2021 13:05 MYT
KAPIT: Isteri mendiang Tan Sri James Jemut Masing dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh, Nicholas Kudi Jantai Masing selesai membuang undi tepat jam 7.45 pagi.
Puan Sri Corrine Masing dan Nicholas menunaikan tanggungjawab mereka di Rumah Melinggang, Majau di Baleh.
“Pagi tadi saya dan isteri mendiang Tan Sri James Jemut Masing, Puan Sri Corrine Masing selesai menunaikan tanggungjawab kami sebagai pengundi di Rumah Melinggang, Majau.
“Selamat mengundi dan kepada anda semua yang pulang mengundi, berhati-hati,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook sebentar tadi.
Nicholas calon muka baharu diketengahkan GPS bagi mempertahankan kubu kuat parti itu di DUN Baleh.
Kerusi tersebut menyaksikan pertembungan empat penjuru dalam saingan Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) kali ini.
Ia melibatkan tiga calon lain termasuk calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Koh Kumbong, Kenneth Usang George (DAP) dan Irwan Iskandar Sukarno Abdullah dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
Kerusi DUN Baleh sebelum ini disandang oleh mendiang Masing selama lapan penggal bermula pada 1983.
Pada PRN11 yang lalu, mendiang berjaya memperkukuhkan kedudukannya di sana apabila meraih majoriti mudah 4,843 ke atas calon DAP, Agop Linsong yang sekadar meraih 454 undi.