PRN Sarawak: Ini lima perkara penduduk rumah panjang di Bukit Goram mahu
Syafik Shukri Jalil
Disember 16, 2021 12:46 MYT
Disember 16, 2021 12:46 MYT
BUKIT GORAM: Penduduk Rumah Kiong di Sungai Anggau, Bukit Goram mengharapkan agar pembangunan infrastruktur di kawasan itu dapat dipertingkatkan seiring dengan kawasan-kawasan lain.
Itu antara satu daripada lima perkara yang menjadi fokus penduduk di rumah panjang itu ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.
Menurut Tuai Rumah, Kiong Igang, walaupun pembangunan sedang rancak berjalan ketika ini, namun dia mengharapkan agar ia dapat diperluaskan.
Malah, dia ingin melihat agar peluang pekerjaan terus dapat diperbanyakkan khususnya di pekan Kapit.
“Saya mahukan agar mereka (kerajaan dipilih) menambahkan prasana dan keperluan penduduk di kawasan pedalaman Kapit contohnya jalan yang menghubungkan sesebuah rumah panjang dengan pasar khusus di kawasan-kawasan hulu dapat dipanjangkan.
“Seterusnya saya juga ingin melihat agar peluang pekerjaan untuk para belia dapat disedia dan diperbanyakkan di sini,” katanya.
Bagi Tugang Braoh, dia mengharapkan agar sebuah pusat aktiviti golongan belia dapat disediakan di kawasan berhampiran rumah panjang itu.
Ini bagi membolehkan golongan itu punya aktiviti selain mencungkil bakat dan kelebihan mereka.
“Saya mahukan agar kemudahan asas untuk anak-anak yang bersekolah dapat disediakan seperti pusat pembangunan belia.
“Dengan adanya pusat seperti ini, mereka tidak akan keluar jauh ke kawasan-kawasan lain yang memiliki prasarana seperti itu, jadi lebih mudah untuk mengenal potensi dan bakat mereka,” ujarnya.
Sementara, bagi Samban Bagop, dia berharap agar capaian internet sedia ada dapat dipertingkat dan pusat internet dibina di kawasan itu.
Ini ujarnya, penting bagi membantu anak-anak yang masih bersekolah dapat menikmati suasana pembelajaran dan pengajaran yang lebih baik.
“Kalau dari segi capaian sudah bagus, namun dilihat dengan keadaan anak-anak yang masih bersekolah di sini memang mereka memerlukan capaian internet yang baik.
“Dan kalau boleh saya mencadangkan agar kemudahan untuk warga emas dapat juga dibina seperti rumah rehat khusus bagi mereka menjalankan aktiviti dan banyak lagi,” katanya lagi.
Ketiga-tiga mereka merupakan 12,150 daftar pemilih di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram yang akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 18 Disember ini.
Mereka ditemui semasa perasmian Bina Baru Parit Rumah Kiong, Sungai Anggau, Kapit oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dun tersebut, Jefferson Jamit Unyat.
Projek itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak di bawah Projek Pembangunan Luar Bandar (RTP).