PRN Sarawak: Ibrahim Baki menang di Satok

Rudi Affendi Khalik
Disember 18, 2021 21:12 MYT
Ibrahim, 62, seorang tokoh korporat tidak berhadapan masalah besar memperoleh 6,991 undi, meninggalkan jauh pesaingnya. - Astro AWANI
KUCHING: Calon GPS di DUN N8 Satok, Datuk Ibrahim Baki menang besar apabila mencipta majoriti 6,033 undi dalam saingan tiga penjuru pada Sabtu.
Ibrahim, 62, seorang tokoh korporat tidak berhadapan masalah besar memperoleh 6,991 undi apabila pesaing terdekatnya, Dr Nor Irwan Ahmat sekadar mengutip 958 undi manakala calon Parti Bumi Kenyalang, Awang Bedele Awang Ali membawa pulang 415 undi.
Hujan di hampir keseluruhan kawasan sepanjang waktu mengundi tidak menghalang 59.29 peratus pemilih melaksanakan tanggungjawab mereka.
Pengumuman keputusan disempurnakan Pegawai Pengurus Pilihan Raya N8 Satok, Dr Hadysham Junaidi sekitar jam 8.50 malam.
Ibrahim merupakan Timbalan Setiausaha PBB dan Bendahari Kehormat GPS.
Pada 2016, kerusi ini dimenangi Ketua Menteri, yang juga Presiden PBB, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dengan majoriti 6,738 undi.
#PRN Sarawak #Ibrahim Baki #Satok #GPS
;