PRN Sarawak: Hargai nasihat Ali Biju, penduduk DUN Krian percaya calon GPS
Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 15, 2021 19:52 MYT
Disember 15, 2021 19:52 MYT
SARATOK: Tinggal dua hari lagi lebih 13,000 pengundi biasa di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat yang akan memimpin Krian bagi lima tahun akan datang.
Selepas penyandangnya Datuk Ali Biju mengumumkan menarik diri daripada bertanding dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak 9 Disember lalu, maka pintu kemenangan untuk calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Friday Belik akan terbuka luas untuk memenangi kerusi berkenaan.
Mewakili Parti Demokratik Progresif (PDP), calon GPS yang juga bekas Residen Betong itu dikatakan akan memberi nafas baharu kepada pembangunan yang lebih berdaya saing dan maju di Krian.
Bagi penduduk yang tinggal di kawasan perkampungan atau rumah panjang di Krian, mereka percaya kemakmuran dari sudut infrastruktur dan ekonomi di kawasan berkenaan hanya akan dicapai sepenuhnya jika wakil rakyat mereka hadir daripada komponen parti GPS.
Tuai Rumah Loya Seman, daripada kawasan Kemidan Awik berkata berbanding lima tahun lalu dan sekarang beberapa pembangunan di kawasan tersebut dapat dilihat namun ianya agak perlahan.
“Dalam tempoh lima tahun ini memang nampak ada pembangunan yang dilaksanakam namun sedikit perlahan dan kami merasakn jika Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian ini daripada kerajaan mungkin akan lebih rancak atau lebih meriah projek infra di sini,” katanya.
Tambah Loya, penyokong Datuk Ali Biju yang setia dan ikhlas berjuang bersama beliau sebelum ini perlu jujur dan menerima keputusan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak itu untuk sama-sama menyokong GPS demi kebaikan seluruh penduduk Krian.
“Sekiranya penyokong Datuk Ali Biju ikhlas mendengar nasihatnya untuk menyokong GPS, maka besar kemungkinan Friday Belik akan menang tetapi sekiranya mereka masih susah untuk menerima kenyataan tersebut maka ia akan memberi sedikit cabaran buat calon GPS,” ujarnya.
Sementara itu, bagi Tuai Rumah Engan Lalak, dari Krangan Rusa Ulu, semua penduduk rumah panjang berkenaan telah bersatu hati untuk menyokong calon GPS.
Katanya kemajuan yang telah dibawa kerajaan GPS ke Krian perlu dipuji dan diteruskan agar nasib rakyat yang masih hidup dan yang akan datang terus dibela.
“Penduduk rumah panjang saya menyokong 100 peratus calon GPS, banyak pembangunan yang telah dilaksanakan untuk rakyat di Krian dari segi jaringan jalan raya, Jambatan Krian, termasuklah surat hak milik tanah yang kami tunggu-tunggu.
“Kalau Datuk Ali Biju masih bertanding saya percaya ramai yang menyokong beliau, tapi apbila beliau menarik diri dari bertanding, maka undi itu tidak akan dipecahkan dan akan pergi kepada calon GPS,” katanya.
Dalam pada itu, golongan belia di Krian yang memegang peratusan tertinggi iaitu 29 peratus (21-39 tahun) berharap wakil rakyat kelak akan segera menyelesaikan isu internet di kawasan rumah panjang.
Bagi Pemandu Lori, Franky Liman Philip, 33 tahun, di samping mengatasi isu bekalan air dan elektrik yang semakin pulih, penyediaan jaringan internet di rumah panjang juga perlu diteliti.
“Usaha kerajaan untuk menaik taraf dan menyediakan bekalan air serta elektrik memang melegakan rakyat, namun dengan pengenalan ekonomi digital dan pendidikan atas talian, penduduk khasnya anak-anak serta golongan belia di rumah panjang masih dihimpit isu jaringan internet yang sangat rendah atau tiada langsung liputan.
“Ini yang perlu dilihat dengan lebih mendalam dan teliti oleh wakil rakyat kelak agar pembangunan yang sedang dirancang di Krian ini boleh memberi manfaat dengan lebih meluas kepada pelbagai usia penduduk,” katanya.
Datuk Ali Biju telah memenangi kerusi DUN Krian selama dua penggal sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun 2011 dan PRN 2016 di bawah tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum mengumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ali menarik diri daripada bertanding di Krian pada PRN12 setelah beliau membuat kejutan apabila tampil bertanding sebagai calon Bebas di Krian.