PRN Sarawak: Hanya 81 kerusi diketahui, keputusan DUN Mulu ada dua peti undi terkandas

Assim Hassan
Disember 18, 2021 23:50 MYT
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 hari ini. - Foto BERNAMA
KUCHING: Keputusan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Mulu tidak dapat diumumkan hari ini ekoran dua peti undi tidak dapat dihantar ke pusat penjumlahan rasmi undi DUN tersebut atas faktor keselamatan.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, ekoran itu pihaknya gagal mengumumkan keputusan pada hari ini sekali gus enggan mengambil risiko keselamatan petugas pilihan raya yang menggunakan helikopter untuk membawa peti undi.
Menurutnya, situasi itu adalah disebabkan cuaca buruk dan terputus hubungan jalan darat.
"Sehubungan itu, keputusan pilihan raya bagi DUN Mulu akan diumumkan sebaik sahaja menerima peti undi berkenaan.
"Selain itu, peratusan dan jumlah pengundi keluar mengundi juga akan diumumkan bersama pengumuman tersebut," katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Iskandar pada malam Sabtu.
Abdul Ghani memberitahu, hanya 81 daripada 82 DUN Sarawak yang diterima SPR secara rasmi pada malam ini.
Ia katanya melihatkan Gabungan Parti Sarawak 75 kerusi; Parti Sarawak Bersatu (empat kerusi) dan DAP (dua kerusi).
BACA: [LAPOR LANGSUNG] PRN Sarawak: Abang Jo angkat sumpah Ketua Menteri Sarawak ke-7
Selain itu, Parti Bumi Kenyalang yang menampilkan 73 calon gagal memenangi kerusi pada PRN kali ini.
Turut gagal memenangi kerusi pada PRN12 Sarawak ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR); Amanah; Aspirasi, Parti Bansa Dayak Sarawak Bersatu (PBDSB); SEDAR; Pas dan calon Bebas.
Ditanya mengenai peratusan keluar mengundi setakat 5 petang iaitu 55 peratus, Abdul Ghani berkata, faktor cuaca dilihat antara sebab peratusan itu rendah.
#PRN Sarawak #Sarawak Memilih #DUN Mulu #pilihan raya negeri #SPR #Abdul Ghani Salleh #Suruhanjaya Pilihan Raya
;