PRN Sarawak: GPS tidak beri kemenangan mudah kepada pembangkang - Uggah
Alisa Spencer
Disember 10, 2021 18:28 MYT
Disember 10, 2021 18:28 MYT
SPAOH: Rekod pembangunan dan pencapaian yang baik oleh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pasti membuahkan hasil pada hari penentuan, 18 Disember ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah, yang juga calon GPS DUN Bukit Saban, percaya komponen parti itu tidak akan mudah untuk memberi jalan kemenangan kepada pembangkang.
Dengan mandat dan aspirasi GPS kepada rakyat, ia mampu mengekalkan sokongan kepada gabungan itu, tambahnya.
“Dulu Barisan Nasional (BN), sekarang GPS, kita akan menang. Bagi kita GPS di kawasan ini, kita tidak akan memberi peluang kepada pembangkang.
“Kita bekerja keras untuk memastikan calon kita menang dan kerja keras ini akan ditentukan semasa hari penentuan kelak,” katanya ketika menghadiri Program Kesedaran Keselamatan dan Kebersihan Sungai di Waterfront, di sini pada Jumaat.
Ketika ditanya mengenai pengumuman Datuk Ali Biju yang menarik diri sebagai calon Bebas bagi DUN Krian, Uggah berkata itu adalah pendirian masing-masing sebagai ahli politik.
“Itu hak dia (Ali Biju), tapi mengapa menarik diri sekarang? Sepatutnya pada awal lagi beliau tidak perlu menghantar nama.
“Tetapi walau apa jua, beliau diharapkan dapat membantu GPS di DUN Krian,” ujarnya.
Untuk rekod, Uggah akan ditentang dua calon iaitu Mikhael Matthew Abdullah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Andria Dundang daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB).