PRN Sarawak: GPS sentiasa berkhidmat, tidak tunggu musim pilihan raya - Dennis Ngau

Shafik Ahmad
November 1, 2021 09:20 MYT
Dennis menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap apa yang telah dilaksanakan GPS. - Foto Astro AWANI
BARAM: Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa menawarkan khidmat kepada rakyat dan bukan hanya ketika musim pilihan raya sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata atas sebab itu ujarnya, GPS sentiasa bersedia sekiranya berlaku pertembungan tiga hingga empat penjuru bagi kerusi DUN Telang Usang pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak kelak.
‘Ia mungkin tiga atau empat penjuru tetapi kita telah bersedia.
“Ini kerana kita sentiasa menjalankan tanggungjawab sejak dari hari pertama sehingga sekarang dan kita telah melakukan bahagian kita,” katanya tanpa mendedahkan secara spesifik calon dari parti mana yang dijangka akan bertanding.
Justeru, beliau menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian terhadap apa yang telah dilaksanakan GPS.
Keputusan itu katanya akan diterjemahkan kepada mandat bagi mengangkat calon yang dipilih bagi membawa suara rakyat di DUN Sarawak.
“Kita berkhidmat secara keseluruhan, dan kita percaya bahawa rakyat mampu menilai dengan bijak apa yang telah dilakukan oleh kerajaan GPS,” tambahnya.
Untuk rekod, Dennis memenangi kerusi DUN Telang Usan atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 167 undi selepas memperoleh 3,321 undian mengatasi calon PKR, Roland Engan (3,064 undi) dalam PRN11 pada 2016.
Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Ahad berkata tarikh pilihan raya negeri belum ditetapkan sehingga perintah darurat di Sarawak ditarik atau ditamatkan.
“Saya serah kepada rakyat untuk melihat masa depan kita (Sarawak), bila pilihan raya saya pun tidak tahu, tidak lama lagi.
“Kita tunggu sahaja bila beduk berbunyi,” katanya ringkas ketika berucap pada Majlis Negerang Jihe Uma Maring Rumah Panjang Temenggung Elizabeth Deng di Kampung Long Laput, Baram.
Tempoh penggal DUN Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran terpaksa ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat di bahawa Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong sehingga 2 Februari tahun depan.
#PRN Sarawak #DUN Telang Usan #Dennis Ngau #Abang Johari Tun Openg