PRN Sarawak: GPS perlu dapat mandat besar - Abang Jo

Assim Hassan
Disember 5, 2021 05:04 MYT
Abang Johari (kiri) berkata, rakyat negeri ini perlu melihat dan mengutamakan dasar kerajaan untuk kebaikan mereka. - Bernama
SERIAN: Gabungan Parti Sarawak perlu mendapat mandat besar pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak 18 Disember ini bagi membolehkan kerajaan negeri meneruskan agenda pemulihan dasar pasca pandemik COVID-19 hingga 2030.
Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, rakyat negeri ini perlu melihat dan mengutamakan dasar kerajaan untuk kebaikan mereka.
"Apa yang kita ingatkan ialah kita lihat kepada dasar kita... bedok sudah berbunyi dan pelbagai cerita timbul. Tetapi yang perlu dasar kerajaan kita ambil kira untuk masa depan kita.
"Kerajaan negeri sudah ada dasar pasca COVID-19 ke arah 2030. Apa yang dikehendaki ialah kita mempunyai mandat yang besar daripada rakyat untuk meneruskan usaha pembangunan kita ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, Jajaran Seksyen Serian WPC 03 di Serian yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.
Jajaran bagi Seksyen Serian ini adalah sepanjang 33.65km. Seskyen ini melibatkan skop kerja menaik taraf Jalan Persekutuan sedia ada dari Bulatan Serian ke Balai Riingin dengan kos projek sebanyak RM700 juta.
Abang Johari berkata, rakyat Sarawak bertuah kerana mempunyai kerajaan stabil di Malaysia selain dipimpin Ismail Sabri.
"Seperti yang Perdana Menteri kata, akan banyak lagi kemudahan infrastruktur asas seperti jalan raya dan capaian internet akan dibangunkan di Sarawak.
"Semua ini adalah hasil kerjasama rapat kerajaan Pusat dan negeri. Alhamdulillah, banyak yang akan dilaksanakan Ismail Sabri," katanya.
#PRN Sarawak #GPS mandat besar #Abang Johari Tun Openg #dasar pasca pandemik 2030