PRN Sarawak: GPS belum putuskan calon di empat DUN
Munirah Mudzamli
November 6, 2021 13:10 MYT
November 6, 2021 13:10 MYT
SEBUYAU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum memutuskan individu bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, dan Simunjan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 akan datang.
Jelas pengerusinya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, hal ini akan dibincangkan dalam mesyuarat GPS kelak.
Namun, Abang Johari yang juga Ketua Menteri Sarawak tidak memaklumkan secara terperinci mengenai tarikh mesyuarat tersebut.
“GPS masih belum mesyuarat. Jadi GPS belum memuktamadkan calon-calon di kawasan ini.
“Jangan risau dulu isu-isu ini,” katanya dalam sidang media sempena Lawatan Kerja Ketua Menteri Sarawak ke Sebuyau pada Sabtu.
Hadir sama Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.
Pada PRN ke-11, kerusi DUN Asajaya dimenangi oleh Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Manakala Aidel Lariwoo (DUN Sadong Jaya); Datuk Julaihi Narawi (DUN Sebuyau); serta Awla Dris (DUN Simunjan).
Pada Jumaat, Abang Johari memaklumkan calon GPS akan dikenal pasti, dan diumum tidak lama lagi.
GPS merangkumi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN dengan 47 dimiliki PBB, 11 kerusi (PRS), tujuh kerusi (SUPP) dan tiga kerusi (PDP) menjadikan Kerajaan GPS memiliki sebanyak 68 kerusi.