PRN Sarawak: Fatimah nafi dedah nama Simoi Peri digugurkan sebagai calon DUN Lingga
Nuzuluddin Abdul Razak
November 10, 2021 18:22 MYT
November 10, 2021 18:22 MYT
KUCHING: Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fatimah Abdullah menafikan ada menyebut nama Datuk Simoi Peri sebagai penyandang yang digugurkan dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Laporan laman Facebook Sri Aman Mansang Maju pada Selasa itu menimbulkan kekeliruan dengan menyatakan akan ada muka baharu yang akan bertanding antaranya di DUN Lingga yang sebelum ini disandang oleh Simoi.
Jelas Fatimah, semua keputusan berhubung pengumuman calon daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan diumumkan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan ia adalah prerogratif daripada beliau.
“Saya tidak pernah menyebut mana-mana nama sebelum ini, siapa yang akan digugurkan atau seumpamanya, kerana ia adalah prerogratif Abang Johari.
“Memang ada antara calon wanita dan lelaki dalam PBB yang tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini bukan kerana digugurkan, tetapi lebih utama kepada faktor kesihatan yang tidak mengizinkan,” katanya bagi memberi respon balas kepada status di Facebook tersebut.
Pada PRN 11, terdapat empat calon wanita GPS menyertai DUN Sarawak iaitu ADUN Dalat, Datuk Seri Fatimah Abdullah, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali (ADUN Samariang), Datuk Rosey Yunus (ADUN Bekenu) dan Datuk Semoi Peri (ADUN Lingga).