PRN Sarawak: Engga Unchat tarik diri, beri sokongan pada calon GPS di Dudong
Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 17, 2021 00:05 MYT
Disember 17, 2021 00:05 MYT
SIBU: Kurang lapan jam pengundian untuk Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) Sarawak bermula, seorang lagi calon, Engga Unchat mengumumkan menarik diri daripada bertanding.
Calon Bebas itu dalam satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat malam telah mengumumkan keputusan menarik diri itu beserta gambar surat penarikan diri yang dikatakan dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Dengan surat ini maka saya mengumumkan bahawa saya telah menarik diri sebagai calon yang akan bertanding dalam PRN12 di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.52 Dudong.
“Maka dengan ini saya memberi sokongan sepenuhnya kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Tiong King Sing,” katanya dalam hantaran tersebut.
Keputusan itu jelasnya untuk kepentingan pengundi di Dudong.
“Ini adalah untuk memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Dudong dan saya menyeru agar pengundi di kawasan ini memberi sokongan sepenuhnya kepada calon GPS,” katanya.
Dengan perkembangan ini, DUN Dudong akan menyaksikan pertembungan tujuh penjuru iaitu King Sing, Paul Ling Fong (DAP), Jane Lau Sing Yee (PBK), Wong Hie Ping (PSB), Josephine Lau (ASPIRASI), Julius Enchana (PBDSB) dan pengiat YouTube terkenal, Fadhil Mohd Isa (Bebas).
Kelima-lima DUN di Sibu dijangka menyaksikan seramai 136,219 orang pemilih akan turun mengundi dengan jumlah pemilih tertinggi dari 82 DUN direkodkan di DUN Dudong iaitu seramai 34,955 orang termasuk 1,899 pengundi awal.
Meskipun menarik diri, nama Engga dan seorang lagi calon Bebas, Datuk Ali Biju sebagai calon masih kekal pada kertas undi kerana peraturan SPR menetapkan calon hanya boleh menarik diri selepas jam 10 pagi pada hari penamaan calon.