PRN Sarawak: DUN Mulu dimenangi Gerawat, GPS kuasai 76 kerusi
Assim Hassan
Disember 19, 2021 13:30 MYT
Disember 19, 2021 13:30 MYT
KUCHING: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Gerawat Gala menang di kerusi DUN Mulu selepas meraih 3,731 undi, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh.
Menurutnya, Gerawat yang merupakan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang majoriti 2,875 menewaskan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Son Radu yang hanya mendapat 856 undi, calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 810 undi serta calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Richard Ibuh (199 undi).
Jelas beliau, kemenangan Gerawat itu menjadikan GPS menang selasa dengan 76 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak.
Keputusan itu sekali gus mencipta rekod kemenangan PRN11 Sarawak pada tahun 2016 dengan 72 kerusi.
"Pada PRN12 kali ini, seramai 759,627 orang atau 60.67 peratus telah keluar mengundi. Jumlah tersebut meliputi jumlah pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos yang telah mengundi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Pada malam Sabtu, Abdul Ghani mendedahkan pihaknya tidak dapat mengumumkan keputusan pilihan raya DUN Mulu ekoran dua peti undi tidak dapat dihantar ke pusat penjumlahan rasmi undi DUN tersebut atas faktor keselamatan.
Malah, katanya, SPR juga enggan mengambil risiko keselamatan petugas pilihan raya yang menggunakan helikopter untuk membawa peti undi disebabkan cuaca buruk dan terputus hubungan jalan darat.
Pada PRN12 kali ini, GPS menang dua pertiga majoriti dengan 76 kerusi; PSB empat kerusi manakala DAP hanya menang dua kerusi.
Setakat 5 petang semalam, hanya 55 peratus daripada lebih 1.2 pengundi berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka memilih wakil rakyat.