PRN Sarawak: DUN Bukit Sari menyaksikan pertembungan tiga penjuru

Fadilah Sulaiman
Disember 6, 2021 10:50 MYT
Pegawai pengurus pilihan raya (RO), Ladin Atok mengumumkan tiga calon yang akan bertanding merebut undi daripada 13,054 pemilih berdaftar di sini. - Astro AWANI
LAWAS: Tiada kemenangan tanpa bertanding untuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan bagi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) kali ini apabila kawasan DUN Bukit Sari menyaksikan pertembungan tiga penjuru.
Tepat jam 10.25 pagi tadi pegawai pengurus pilihan raya (RO), Ladin Atok mengumumkan tiga calon yang akan bertanding merebut undi daripada 13,054 pemilih berdaftar di sini.
Mereka ialah Awang Tengah yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS), Alias Mail calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) serta Riyah Basrah dari Parti Bumi Kenyalang (PBK).
RO menerima kertas penamaan calon pertama, Awang Tengah (GPS) pada jam 9.01 pagi, diikuti Alias Mail (PSB) pada jam 9.05 pagi dan Riyah Basrah (PBK) pada 9.08 pagi sebelum menyemak dan berpuas hati sekali gus mengesahkan tiada calon yang ditolak penamaannya.
Tarikh bagi pengundian awal adalah pada 14 Disember (Selasa), manakala undi biasa pada 18 Disember (Sabtu) di pusat-pusat mengundi yang akan dimaklumkan.
#PRN Sarawak #DUN Bukit Sari #tiga penjuru #SPR
;