PRN Sarawak: DUN Baleh kekal milik GPS

Syafik Shukri Jalil
Disember 18, 2021 19:49 MYT
Calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Nicholas Kudi Jantai, berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh. - Astro AWANI
KAPIT: Calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Nicholas Kudi Jantai, berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Baleh.
Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya N64 Baleh, Robert Liman di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi DUN Baleh, sebentar tadi.
Menerusi keputusan tersebut, Nicholas berjaya memperoleh 3,541 undi.
Ini seterusnya meninggalkan pesaingnya termasuk Koh Kumbong dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) yang mencatat 1,632 undi, Kenneth Usang dari DAP dengan 470 dan Sukarno Layau dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dengan 82 undi.
Kemenangan itu sekali gus mencatatkan majoriti selesa buat Nicholas dengan 1,909 undi.
Kerusi DUN Baleh sebelum ini disandang oleh mendiang Tan Sri James Jemut Masing yang juga merupakan bapa saudaranya.
Kerusi itu berjaya dipertahankan mendiang Masing selama lapan penggal bermula pada 1983.
Malah pada PRN11 yang lalu, mendiang berjaya memperkukuhkan kedudukannya di sana apabila meraih majoriti mudah 4,843 ke atas calon DAP, Agop Linsong yang sekadar meraih 454 undi.
#PRN Sarawak #Sarawak Memilih #DUN Baleh #Nicholas Kudi Jantai #James Jemut Masing
;