PRN Sarawak diadakan 60 hari selepas darurat dibatalkan - SPR

Astro Awani
Ogos 2, 2021 16:56 MYT
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 31 Julai mengenai pengisytiharan proklamasi itu oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Pengisytiharan oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan proklamasi ini hendaklah meliputi seluruh negeri Sarawak mulai 2 Ogos 2021 hingga 2 Feb 2022," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, satu ordinan telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dikenali sebagai Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 P.U.(A) 324.
Beliau berkata, di bawah peruntukan Fasal (3) Perkara 21 Perlembagaan Negeri Sarawak, DUN itu yang sepatutnya terbubar selepas lima tahun daripada mesyuarat pertamanya, tidak mempunyai kesan berdasarkan Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat itu.
DUN Sarawak sepatutnya terbubar pada 7 Jun lalu namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.
#PRN Sarawak #Proklamasi Darurat #Sarawak #Yang di-Pertuan Agong #Muhyiddin Yassin #Darurat Sarawak
;