PRN Sarawak: Demi masa depan Krian, guna kuasa demokrasi dengan bijak - Abang Jo

Nuzuluddin Abdul Razak
Disember 15, 2021 13:48 MYT
Abang Johari menyerahkan replika Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN Dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Krian, Saratok kepada penerima. - Astro AWANI
SARATOK: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian diharap menggunakan sebaiknya kuasa demokrasi yang ada pada mereka dalam meilih wakil rakyat pada 18 Disember ini untuk mencapai pembangunan yang lebih berdaya saing dan maju.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), yakin sekiranya calon gabungan itu Friday Belik dipilih sebagai wakil rakyat, beliau mampu membawa sinar kepada penduduk Krian.
“Calon GPS di sini, Friday Belik ada pengalaman dalam kepimpinan sebagai bekas Residen Betong dan dia akan berkhidmat sebagai jentera kita untuk membangunkan Krian dan menyatukan rakyatnya di bawah GPS.
“Saya berharap rakyat di Krian menggunakan sebaiknya platform demokrasi dalam pilihan raya ini walaupun penyandangnya sudah mengundur diri (Ali Biju) tapi prinsip demokrasi mesti tepat dan kita akan bantu rakyat mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN bagi kawasan Krian, Saratok di Dewan Serbaguna Ladang Kelapa Sawit Roban Selatan pada Rabu.
Sementara itu Abang Jo mengingatkan agar tidak ada pertelingkahan dalaman parti berlaku agar kehidupan rakyat yang dipimpin akan terus sejahtera dan makmur.
“Saya tidak mahu ada pergaduhan berlaku dalam parti, dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) saya dan Uggah tidak pernah bergaduh dan terus berkhidmat, kalau cukup masa kita serahkan kepada orang baharu.
“Saya berharap rakyat di Krian ini akan terus sejahtera kehidupan mereka, malah lebih baik terutama dalam menyediakan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak,” katanya.
Pada Khamis (9 Disember), Ali yang juga penyandang kerusi Krian menarik diri daripada bertanding di kerusi itu sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12).
Keputusan menarik diri dibuat katanya atas nasihat dari pimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan GPS.
Susulan itu, Ali menyatakan sokongan penuhnya kepada calon GPS, Friday Belik bagi memastikan kemenangan di kerusi itu.
Meskipun menarik diri, nama Ali Biju sebagai calon masih kekal pada kertas undi kerajan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan calon hanya boleh menarik diri selepas jam 10 pagi pada hari penamaan calon.
BACA: Ali Biju umum tarik diri, tidak bertanding dalam PRN Sarawak
BACA: PRN Sarawak: Keputusan Ali Biju tarik diri bertanding DUN Krian langkah terpuji - Muhyiddin
BACA: PRN Sarawak: Saya tidak sangka Ali Biju akan tarik diri - Friday Belik
BACA: PRN Sarawak: Semua calon ada peluang menang walau Ali Biju tidak tarik diri - Calon GPS
#PRN Sarawak #Tan Sri Abang Johari Tun Openg #Gabungan Parti Sarawak GPS #Friday Belik
;