PRN Sarawak: DAP tukar calon saat akhir di DUN Stakan

Astro Awani
April 25, 2016 11:25 MYT
DUN Stakan bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN dan DAP.
Parti Tindakan Demokratik (DAP) bertindak menukar calon mereka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N17 Stakan pada saat akhir pada Hari Pencalonan Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11).
Leslie Ting Xiang Zhi, 25, tiba pada jam 9.25 pagi bagi menggantikan Aziz Isa yang sebelum ini diumumkan sebagai calon DAP di DUN tersebut.
Leslie telah diiringi pencadangnya, Tony Kilin, dan penyokongnya Edmund Damit Asong.
Sementara itu, calon parti Barisan Nasional (BN) Stakan, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud tiba di pusat penamaaan calon serentak bersama calon BN bagi DUN Muara Tuang, Datuk Idris Buang pada jam 8.45 pagi.
Ketibaan kedua-dua calon itu diiringi lebih daripada 2,000 penyokong.
DUN Stakan bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara BN dan DAP.
Dalam perkembangan lain, pertembungan tiga penjuru antara BN , PAS dan Amanah bakal berlangsung di DUN Muara Tuang.
Idris Buang bakal bersaing dengan calon PAS, Zulkifli Ramzi dan juga calon Amanah, Abang Abdul Halil Abang Maili.
Mengikut rekod, DUN Muara Tuang mempunyai 16,186 jumlah pengundi dengan 15,918 orang adalah pengundi biasa, 120 undi awal anggota tentera serta pasangan, 147 undi awal dari polis serta pasangan, dan seorang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.
DUN Stakan pula merekodkan 14,846 orang pengundi dengan pecahan 7,788 adalah undi biasa, 7,050 undi awal dari anggota tentera serta pasangan, lima anggota polis serta pasangan dan tiga pengundi tidak hadir yang berada di luar negara.
#Barisan Nasional #BN #DAP #DUN Muara Tuang #DUN Stakan #Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN-11) Sarawak #PilihanRayaSarawak #PKR #sarawak2016
;