PRN Sarawak: Chong Chieng Jen mengundi di SMK Kuching High
Afiezul Samit
Disember 18, 2021 09:30 MYT
Disember 18, 2021 09:30 MYT
KUCHING: Seramai 20,687 pengundi berdaftar untuk kawasan N.09 Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan menjadi harapan parti DAP mempertahankan kerusi.
DUN Padungan merupakan salah satu kubu kuat dan kerusi tradisi DAP selain di Pending dan Batu Lintang, yang berada di bawah Parlimen Bandar Kuching.
Ia memiliki 14 pusat pengumpulan pembuangan undi, termasuk satu pusat undi awal yang berlangsung 14 Dis lalu, melibatkan 260 anggota polis dan pasangan di Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya.
Antara pusat mengundi DUN Padungan termasuk di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuching High yang memiliki empat saluran undi.
Tempat mengundi khas untuk mereka yang bergejala juga disediakan, dengan petugas yang lengkap menggunakan peralatan pelindung diri (PPE).
Presiden DAP Sarawak Chong Chieng Jen yang membuang undi sekitar jam 9 pagi di sekolah itu melahirkan rasa puas hati dengan kelancaran proses pengundian.
"Walaupun berada dalam keadaan pandemik dan dikenakan sekatan Prosedur Operasi Standard (SOP), proses mengundi sangat lancar, mudah dan cepat.
"Sekarang baru jam 9 pagi, nanti kita lihat apa-apa yang mungkin berlaku," katanya ketika ditemui setelah selesai membuang undi.
Justeru, Chong enggan mengulas lebih lanjut berkaitan PRN12 pada hari ini kerana risau kata-katanya akan dianggap sebagai kempen.
"Apa-apa berkenaan mengundi saya tidak akan membuat buat apa-apa kenyataan. Takut nanti ditafsir sebagai berkempen. Saya tidak mahu langgar peraturan," ujarnya.
Tinjauan Astro AWANI mendapati mereka yang hadir akur dengan ketetapan SOP yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Pengundi mula hadir sekitar jam 7.30 pagi dan keadaan di tempat mengundi terkawal.
Terdahulu, DUN Padungan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Chong Chieng Jen dari DAP, Raymond Thong ee Yu dari Parti Bumi Kenyalang (PBK), Soo Lina Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), (Aspirasi) dan Gabungan Parti Sarawak menghantar Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng.
Pada PRN11, DUN Padungan dimenangi Wong King Wei dari DAP dalam pertembungan tiga penjuru mengalahkan Teo Kuang Kim (STAR) dan Pau Kiu Sung dari BN.