PRN Sarawak: Calon sering turun padang ada kelebihan - Penganalisis

Irwan Muhammad Zain
Disember 14, 2021 17:19 MYT
Penganalisis Sosio Politik UMCEDEL, Prof Awang Azman Awang Pawi menjelaskan keadaan ini dapat dilihat dari dapatan kajian yang dibuat pihaknya sebelum penamaan calon baru-baru ini. - Gambar fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Sering turun padang dan mengambil berat masalah dihadapi rakyat memberikan kelebihan kepada calon-calon yang kekal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.
Penganalisis Sosio Politik UMCEDEL, Prof Awang Azman Awang Pawi menjelaskan keadaan ini dapat dilihat dari dapatan kajian yang dibuat pihaknya sebelum penamaan calon baru-baru ini.
Awang Azman menjelaskan, biarpun terdapat perubahan berbanding kajian yang dibuat sebelum ini, namun faktor prestasi calon di setiap DUN masih sama.
"Jika kita lihat di DUN Bukit Sari, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, popularitinya sangat tinggi dan dijangka tahap sokongan kepadanya akan terus meningkat bila beliau akan kembali turun padang sehari dua nanti.
"Faktor sokongan tinggi ini disebabkan prestasi yang ditunjukkan sebelum ini dan perkara ini juga banyak berlaku di DUN-DUN lain," katanya kepada Astro AWANI.
Namun, Awang Azman menjelaskan hasil kajian yang dilakukan oleh UMCEDEL mula berubah sentimennya selepas selesai penamaan calon.
Jelas beliau terdapat kawasan yang sebelum ini dilihat selamat untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini mula menjadi kerusi yang terbuka untuk mana-mana parti.
"Berdasarkan 20 kerusi yang kita lakukan kajian sebelum ini, terdapat perubahan yang akan berlaku terutama jumlah kemenangan yang akan diperolehi oleh parti.
"Ini kerana kajian yang kami lakukan itu dibuat sebelum penamaan calon, tetapi sebaik sahaja selepas penamaan calon dan kempen terdapat kerusi yang mula berubah seperti di DUN Dudong yang mula dilihat sebagai peluang kepada GPS berbanding kajian kami sebelum ini.
"Tetapi ada kawasan lain yang ada perubahan, contohnya terdapat kawasan atau DUN yang sebelum ini putih, kini sudah menjadi kerusi panas seperti di DUN Tebedu.
"Untuk kerusi DUN Tebedu ini, kalau dalam tempoh empat hari ini tidak dapat dibuat sesuatu ia akan memberi petanda tidak baik untuk GPS.
"Trend pengundi ini sentiasa berubah mengikut sentimen semasa, perubahan berlaku mengikut hari dan mengikut detik," katanya lagi.
Menerusi kajian yang dibuat oleh UMCEDEL pada 20 hingga 27 November lalu, secara keseluruhan, rakyat Sarawak berpuas hati terhadap pengurusan negara yang dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan.
Dapatan dari kajian yang dilakukan oleh UMCEDEL di 20 DUN menunjukkan 61 peratus melihat kerajaan persekutuan melaksanakan tugas dengan baik.
Manakala 68.1 peratus daripada responden yang ditemui berpuashati terhadap pengurusan negeri oleh kerajaan yang diterajui GPS.
Kajian itu juga mendapati 57.9 peratus responden di 20 DUN itu melihat prestasi GPS sebagai kerajaan negeri agak baik.
Manakala 57 peratus respoden juga menerima dasar-dasar yang dilaksanakan GPS, ia setara dengan prestasi umum terhadap GPS.
Daripada 20 DUN yang dibuat kajian, 12 DUN positif dengan prestasi dan dasar GPS, 4 neutral dan baki 4 lagi negatif.
Kajian yang dilaksana juga mendapati 79.4 peratus responden di 20 DUN yang dilaksanakan kajian berpuas hati dengan kehadiran wakil rakyat mereka.
Namun 74.1 peratus responden melihat kehadiran Adun di lapangan tidak terlalu setara dengan pembangunan yang diharapkan penduduk.
Kajian UMCEDEL di 20 Dun itu mendapati GPS mampu memenangi 13 kerusi dengan 52.5 peratus undi popular, Parti Sarawak Bersatu dilihat mampu menang enam kerusi dengan anggaran 26.4 peratus undi popular.
Manakala Pakatan Harapan dilihat berpeluang menang di satu kerusi iaitu di Dudong dengan anggaran 16.5 peratus undi popular.
Kajian yang dibuat UMCEDEL itu melibatkan 2,190 respoden di DUN Opar, Samariang, Batu Kitang, Batu Kawah, Serembu, Mambong, Gedong, Beting Maro, Simanggang, Engkilili, Krian, Repok, Pakan, Ngemah, Dudong, Bawang Assan, Murum, Senadin, Ba'kelalan dan Bukit Sari.
#PRN Sarawak #Kajian #umcedel #Awang Azman Awang Pawi #calon
;