PRN Sarawak: Calon PSB sasar tingkat infrastruktur asas di DUN Asajaya

Hasimi Muhamad
Disember 10, 2021 14:21 MYT
Jelas Ishak penyediaan kemudahan asas dilihat lebih diperlukan berbanding projek-projek mega, yang sedang dalam perancangan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS). - Gambar Astro AWANI
KUCHING: Dilahirkan di Asajaya menjadi pendorong kepada Ishak Buji untuk membawa perubahan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut, jika diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak ini.
Tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) itu berkata, pembangunan infrastruktur asas di DUN Asajaya, antara yang menjadi keutamaan bagi memastikan penduduk setempat menikmati kemudahan tersebut.
Jelas Ishak, 37, penyediaan kemudahan asas dilihat lebih diperlukan berbanding projek-projek mega, yang sedang dalam perancangan di bawah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), ketika ini.
"Kalau kita lihat di kawasan Asajaya pada hari ini, saya sudah tiga tahun lebih berada di sana tetapi tiada langsung perubahan. Dulu sejak zaman saya kecil lagi, pergi ke kebun pada usia empat atau lima tahun... berjalan kaki dalam masa 30 minit. Jalan ketika itu lebih besar daripada jalan pada kerajaan ketika ini.
"Saya inginkan pembangunan asas infrastruktur, contohnya, pada waktu malam tiada lampu jalan. (Situasi ini) agak bahaya kepada pemandu dan penunggang motosikal kalau apa-apa berlaku kerana kita tidak tahu (gelap) keadaan jalan, jika berlubang dan rosak. Kita pun tidak tahu sampai bila keadaan jalan itu akan dibaik pulih," katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini baru-baru ini.
Klik untuk dapatkan perkembangan terkini sepanjang kempen PRN Sarawak 2021
Mengulas lanjut, Ishak berkata, pengalaman terlibat dalam bidang pembinaan dan kejuruteraan akan digunakan sebaik mungkin untuk memastikan kemudahan itu dapat dibangunkan.
Dalam masa yang sama, dia berkata isu kebajikan golongan ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), serta sosioekonomi penduduk, turut menjadi agenda dalam manifestonya.
"Ada segelintir daripada mereka, anak-anak OKU yang tidak mendapat bantuan kerusi roda dan ada juga bantuan-bantuan yang mereka sepatutnya dapat tetapi tidak dapat. Itu saya sedih.
"Selain itu, meningkatkan sosioekonomi tempatan. Sekurang-kurangnya kawasan Asajaya itu sebuah kawasan pertanian, dan perladangan yang boleh dikembangkan. Ini kerana kawasan tersebut mempunyai tanah yang begitu luas, dan penduduk kampung cuma bergantung kepada pertanian dan perikanan.
"Kalau kita membantu dengan teknologi dan memberikan pengetahuan... bagaimana untuk meningkatkan mereka produktiviti dari segi perikanan dan sebagainya, ia boleh dilakukan," katanya lagi.
Ahli perniagaan itu juga berharap sebuah Koperasi Asajaya dan Majlis Daerah Asajaya dapat dibangunkan di kawasan tersebut bagi mengawal selia sektor pendidikan, kewangan serta menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Ditanya pula mengenai saingan berdepan penyandang kerusi DUN Asajaya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Ishak berkata dia menyerahkan kepada pengundi untuk membuat pilihan pada 18 Disember ini.
Selain itu, dia melihat situasi politik di Sarawak secara amnya adalah lebih harmoni, dan persaingan pada pilihan raya kali ini mencerminkan sistem demokrasi negara.
Abdul Karim menyandang kerusi DUN Asajaya setelah menang pada PRN11 Sarawak yang lalu atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan undi majoriti 4,489.
Pada PRN12, kerusi DUN Asajaya bakal menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Selain Ishak, Abdul Karim akan turut berdepan saingan daripada calon Pakatan Harapan (PH)-PKR, Mahmud Epa; dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), Mohamad Mahdeen Saharuddin.
#DUN Asajaya #Ishak Buji #Calon PSB #PRN Sarawak
;