PRN Sarawak: Calon muda GPS tawar pembangunan sosioekonomi mampan untuk rakyat

Ehsan A Marisah
Disember 15, 2021 12:31 MYT
Dua calon muda Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menawarkan pembangunan sosioekonomi yang mampan kepada rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan datang. - Gambar fail.
KUALA LUMPUR: Dua calon muda Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menawarkan pembangunan sosioekonomi yang mampan kepada rakyat negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan datang sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat bagi kawasan masing-masing.
Bagi Calon GPS DUN N57 Tellian, Royston Valentine berkata, pihaknya berhasrat membangunkan industri pelancongan di sekitar Tellian dengan ciri-ciri budaya masyarakat Melanau yang merupakan penduduk majoriti kawasan itu.
“Salah satu tarikan yang boleh dijadikan tarikan adalah industri pelancongan. Tellian berada di kawasan pusat bahagian Mukah dengan keunikan di hujungnya terletaknya pantai, hulu sungai dan bukit-bukau.
“Ini dapat dilihat lagi dengan keunikan budaya masyarakat Melanau yang menjadi 50 peratus penduduk di sekitar Mukah dan adalah lebih baik dapat menjadikannya sebagai salah satu industri pelancongan selain daripada infrastrktur yang turut dititikberatkan,” katanya dalam program Agenda AWANI, pada Selasa.
Agenda AWANI: PRN Sarawak | Ini masa untuk anak muda
Sementara itu, Calon GPS DUN N54 Pelawan, Michael Tiang menawarkan perancangannya yang memfokuskan hal perparitan, jalan raya, perumahan, pemerkasaan belia, komuniti dan perkhidmatan kesihatan.
“Yang pertama, menaik taraf sistem perparitan kerana ia berperanan penting daripada mengelakkan berlakunya banjir kilat. Kedua, menaik taraf jalan raya dan perlu diperbesar kerana populasi penduduk sudah bertambah dan seterusnya melancarkan projek smart home termasuk rumah dan kos sara hidup berpatutan.
“Selain itu, saya juga ingin mendirikan sebuah one stop centre untuk para belia mendapatkan informasi berkaitan bantuan daripada kerajaan. Tambahan, saya juga ingin membantu komuniti dengan sebuah pusat komuniti kerana banyak tanah berpotensi untuk dibangunkan dan dalam menggalakkan mereka ke arah digitalisasi.
“Akhir sekali, saya juga akan membina perkhidmatan kesihatan untuk memudahkan masyarakat di sekitar untuk mendapatkan rawatan,” katanya lagi.
#GPS #PRN Sarawak #Royston Valentine #Michael Tiang
;