PRN Sarawak: Calon GPS Meradong mahu lahirkan lebih ramai 'Pandelela'
Syafik Shukri Jalil
Disember 11, 2021 16:50 MYT
Disember 11, 2021 16:50 MYT
BINTANGOR: Membangunkan fasiliti sukan dilengkapi kolam renang antara agenda utama penyandang dan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Ding Kuong Hiing, sekiranya diberi mandat mempertahankan kerusi DUN Meradong.
Dia mahu lebih ramai atlet cemerlang seperti ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong Pamg dapat dilahirkan.
Katanya lagi, sememangnya pembangunan infrastruktur terus menjadi agenda utama dalam merancakkan pembangunan warga Meradong, namun pembangunan belia tidak sesekali dipinggirkan.
“Antara projek yang sudah diluluskan adalah pembinaan kolam renang khusus untuk warga Meradong.
“Pembinaan ini bukan sahaja membantu penduduk tempatan belajar berenang malah akan mampu melahirkan perenang dan penerjun yang berbakat dan ini adalah fokus saya sekiranya diberi mandat untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Dan kita punya misi adalah untuk melahirkan lebih ramai atlet khususnya dalam acara terjun dan renang,” kata Ding ketika ditemui Astro AWANI di Bintagor, pada Sabtu.
Selain itu ujarnya, antara fokus utamanya sekiranya menang pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) adalah untuk menyelesaikan isu berkaitan paip dan air.
“Kita akan menaiktaraf sistem air dan RM81 juta sudah diluluskan Kerajaan Negeri Sarawak bagi tujuan itu.
“Antara yang akan dilakukan adalah menaiktaraf loji rawatan air, menyediakan tangki air tekanan tinggi (High level pressure water tank), pam penggalak (booster pump) dan menyediakan dua paip tekanan tinggi (big supply pipes) supaya boleh membekalkan bekalan air yang cukup kepada daerah Meradong,” katanya.
Pada masa sama memandangkan Meradong merupakan kawasan yang didiami ramai komuniti petani, Ding juga berhasrat untuk memajukan sektor itu dengan penggunaan teknologi dan fasiliti terkini.
Antara lain, dia juga berhasrat untuk membangunkan pusat pengumpulan hasil tani setempat.
Ini bagi membolehkan komuniti agro di sana menghasilkan lebih banyak produk tani sekali gus meningkatkan pendapatan.
“(Saya) akan terus memperkasa sektor pertanian di Bintagor dan spesifiknya Meradong kerana kawasan ini merupakan antara pusat pertanian dan kebanyakkan penduduk di sini adalah petani.
“Jadi saya akan memperkenalkan sistem pertanian berasaskan teknologi dan akan menaiktaraf fasiliti mereka supaya mereka boleh meningkatkan produktiviti sekali gus pendapatan mereka.
“Juga akan bangunkan sebuah pusat pengumpulan hasil tani dilengkapi dengan kemudahan mengumpul, memproses dan membungkus. Projek ini sudah diluluskan dan akan dibangunkan tidak lama lagi,” tambahnya.
Ding merupakan peyandang kerusi DUN Meradong sejak 2016.
Pada PRN11, dia yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) berjaya mengetepikan calon DAP, Ting Tze Fui dengan memperoleh 6,865 undi berbanding Ting dengan 5,349 undi.