PRN Sarawak: Calon dan dua petugas parti dibenar edar bahan kempen di rumah panjang
Assim Hassan, Hasimi Muhamad
Disember 5, 2021 15:39 MYT
Disember 5, 2021 15:39 MYT
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan calon dan dua petugas parti turun padang dan berkempen untuk mengedarkan risalah serta bahan kempen di rumah panjang di seluruh negeri ini sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12 Sarawak.
Bagaimanapun, jelas SPR edaran risalah dan bahan kempen itu hanya boleh dibuat di hadapan rumah atau di ruai rumah panjang sahaja.
Malah, calon dan dua petugas parti yang terlibat dalam kempen serta edaran risalah juga telah lengkap divaksin.
"Calon atau petugas parti tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah atau bilik di rumah panjang.
"Mereka juga perlu sentiasa memakai pelitup muka, merekod rumah-rumah yang dilawati bagi tujuan pengesanan selain tidak dibenarkan bersentuhan," demikian menurut SPR, hari ini.
Terdahulu, SPR memuat naik prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan COVID-19 PRN12 Sarawak di laman sesawang suruhanjaya tersebut.
Selain itu, SPR turut memaklumkan sebarang aktiviti pertemuan dengan pengundi adalah tertakluk kepada SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berkuat kuasa kecuali dinyatakan secara khusus dalam SOP tersebut.